KUANTAN: Pewaris pahlawan Mat Kilau, memuji penerbit dan pengarahan filem Mat Kilau kerana kesannya yang dilihat mampu membangkitkan semula semangat Melayu-Islam beraja sekali gus menimbulkan rasa sayang kepada tanah air.

Salah seorang cucu Mat Kilau, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, filem-filem kepahlawanan Melayu, andai dibuat kajian secara lebih teliti sewaktu pembikinannya, juga boleh dijadikan rujukan generasi akan datang kerana unsur sejarahnya.

Malah Mohd Alhamadi menyifatkan filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof itu merupakan satu perkembangan baik dalam industri filem negara.

"Filem Mat Kilau ini yang sedang ditayangkan masa ini satu filem yang boleh membangkitkan balik semangat Melayu-Islam beraja di tanah air kita dan ianya dapat mengembalikan balik perasaan kebanggaan kita terhadap bangsa dan juga negara kita," katanya.

Mohd Alhamadi berkata demikian ketika ditemui di Galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan Padang Garuda Kuantan.

BACA: Baru empat hari ditayangkan, filem Mat Kilau raih kutipan RM11 juta

Menurut Mohd Alhamadi lagi, walaupun filem Mat Kilau yang kini sedang dalam tayangan, merupakan satu fiksyen, tetapi ianya tidak mencalarkan imej datuknya sebagai pahlawan yang berjuang menentang penjajah Inggeris.

Sebagai salah seorang pewaris pahlawan Mat Kilau, Mohd Alhamadi turut mengucapkan terima kasih kerana filem tersebut tidak memasukkan unsur-unsur khurafat seperti kebal, ghaib, boleh terbang dan sebagainya.

"Kerana ianya akan menjadi satu bahan rujukan di kemudian hari nanti jadi kalau ceritanya tak betul anak cucu cicit kita 30, 40 tahun akan datang akan memegang fakta yang tak betul sebab saya melihat dalam media massa.

"Ini bukan dalam filem ya, dalam media massa banyak menulis perkara-perkara yang pelik-pelik. Mat Kilau boleh ghaib, Mat Kilau kebal, ini semua seolah-olah kita nak mendongengkan ataupun mengkartunkan satu nama yang besar dalam bangsa kita, jadi rugilah kita sebenarnya," katanya.

Filem 'Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan' yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu di bawah terbitan Studio Kembara itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhan, Johan As'ari dan ramai lagi.