Tiga pengarah terkemuka Asia Tenggara iaitu Sherad Anthony Sanchez (Filipina), John Badalu (Indonesia) dan Woo Ming Jin (Malaysia) telah mengesahkan penyertaan mereka sebagai mentor kepada enam pembikin filem harapan dalam program ‘Shortcuts - Bengkel Penyusunan Skrip’.

Menurut Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar penglibatan pengarah-pengarah ini adalah bagi memartabatkan industri dan melahirkan pengeluar filem serta pengarah tempatan yang terbaik dan mempunyai kelas tersendiri di peringkat Asia dan global.

“Pihak kami berhasrat untuk menjadi medium pembikinan filem di Asia Tenggara tebaik dengan memupuk dan mengasah bakat-bakat kreatif di Malaysia dalam seni perfileman melalui ‘Shortcuts’.

“Bengkel intensif yang telah dilaksanakan sebelum ini bukan sahaja dapat memberikan tumpuan kepada pelbagai perkara, malah ‘Shortcuts’ juga merupakan sebuah landasan bagi peserta untuk menimba ilmu dan mempelajari teknik-teknik daripada beberapa pembikin filem terkenal dan mentor yang telah memenangi beberapa anugerah di serantau Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bengkel kedua anjuran Astro Shaw ini merupakan sebahagian daripada skim pembiayaan filem pendek yang telah dilaksanakan Shortcuts dan akan bermula 21 Mac hingga 27 Mac bertempat di Sekeping Kong Heng, Ipoh.

Tiga skrip yang terbaik berpeluang untuk memenangi sejumlah RM40,000 setiap seorang untuk penghasilan filem pendek mereka.

Filem-filem tersebut bakal ditayangkan di festival filem serantau dan juga di Astro A-List (Saluran 456).

Tiga peserta yang telah terpilih hujung tahun lalu
iaitu Chen Yih Wen, Aw See Wee dan Nadira Ilana melalui bengkel penceritaan akan disertai oleh tiga peserta lain yang bakal terpilih semasa pusingan penghujahan.

Mereka yang berminat untuk memantapkan lagi bakat dalam bidang pengarahan boleh menghantar penyertaan melalui [email protected] sebelum 29 Febuari ini.

‘Shortcuts’ - Bengkel Penyusunan Skrip' oleh Astro Shaw dianjurkan dengan kerjasama Next New Wave dan disokong oleh FINAS.

'Shortcuts' adalah sebuah skim pertandingan pembikinan filem pendek untuk mengasah bakat-bakat baru dalam bidang perfileman melalui beberapa bengkel bimbingan.