KUALA LUMPUR: Pengarah filem tersohor, U-Wei Saari dilantik sebagai ketua juri untuk pemilihan Dokumentari Terbaik bagi Festival Filem Antarabangsa Moscow, Rusia.

Selain U-Wei beberapa pengarah lain dari Rusia dan Kazakhstan turut diundang sebagai juri di festival yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Sebelum ini, anak kelahiran Mentakab itu pernah beberapa kali diundang sebagai juri di beberapa festival filem antarabangsa di luar negara.

"Minat saya terhadap filem-filem dokumentari selain filem fiksyen antara sebab untuk penganjur mengundang saya sebagai ketua juri.

"Kami akan menghakimi atau memberi penilaian kepada filem-filem dokumentari yang mana kita harus sanjung hingga diberi anugerah mungkin," katanya kepada Astro AWANI.

Pemilihan U-Wei sebagai ketua juri di festival filem peringkat antarabangsa merupakan satu penghormatan kepada dunia perfileman negara.

Filem Kaki Bakar arahan U-Wei yang dihasil berdasarkan novel Barn Burning karya penulis Amerika Syarikat, William Faulkner merupakan filem pertama dari Malaysia yang diundang ke Festival Filem Cannes.

Selepas Kaki Bakar, filem arahannya, Sepohon Rambutan Indah Kepunyaan Ku Di Tanjung Rambutan turut diundang untuk The Directors' Fortnight di festival filem yang sama pada 2006.