BARU seakan semalam rasanya hari gelap dan menyedihkan industri muzik tanah air meratapi pemergian Allahyarham Saleem pada 14 Oktober 2018.

Masih terngiang tangisan ahli keluarga Allahyarham termasuk anaknya Syafiq Farhain dan juga gitaris utama Umarul yang sugul ketika berada di sisi jenazah ketika itu.'

Sejak itu sudah agak jarang sangat kita mendengar perkembangan dan juga aktiviti kumpulan IKLIM di pentas industri atau mana-mana persembahan pentas.

Namun, setelah sekian lama menyepi, IKLIM dikhabarkan bakal tampil dengan beberapa perancangan baharu.

Jika benar, inilah masa paling sesuai buat semua peminat kumpulan raja balada itu untuk melepaskan rindu yang sekian lama terbuku.

Lebih menarik, IKLIM kini dilengkapkan lagi dengan penyertaan anak Allahyarham Saleem iaitu Syafiq bagi menjayakan projek single terbaharu mereka selain konsert yang dijangka diadakan sedikit masa lagi.

Kemasukan semula Umarul dan kesudian Syafiq menjayakan beberapa projek yang dirancang dilihat hadir tepat pada waktunya.

Masakan tidak, Umarul bukan sahaja anggota asal, malah dialah juga yang banyak mencipta puluhan lagu popular IKLIM yang telah mengangkat kumpulan itu di puncak kejayaan dalam industri muzik satu ketika dahulu.

Syafiq pula tiada siapa yang mampu menafikan bahawa darah seni ayahnya itu terlalu tebal mengalir dalam dirinya.

Bukan sahaja mewarisi bakat, malah kualiti suaranya juga hampir menyamai atau persis lunak suara arwah Saleem.

Jika kedua-duanya digabungkan dengan Kama (dram), Huzali (keyboard) dan Mohalim (bass), pastinya akan mencetuskan semula melodi muzik yang sama sepertimana ketika zaman kegemilangan di era 90-an.

Menurut Umarul, IKLIM kini dalam fasa terakhir untuk menyiapkan rakaman dua buah lagu baharu.

"Sebenarnya kemasukan saya semula ke dalam IKLIM tidaklah dirancang, tetapi ia berlaku sejak beberapa bulan yang lalu selepas anggota yang lain (Kama, Mohalim, dan Zali) mengadakan perbincangan dengan Syafiq dan saya untuk bersama mereka dalam menjayakan sebuah single.

"Ia merupakan usaha 'çomeback' IKLIM yang mungkin akan memberikan nostalgia buat peminat yang masih ada dan saya menganggap ini adalah usaha yang tepat pada masanya selepas sekian lama," katanya kepada Astro AWANI.

Memang benar pun kata Umarul itu kerana sememangnya peminat tegar mereka masih ramai dan merindui kelibat mereka.

Apatah lagi jika 'comeback' yang akan dibuat itu menjanjikan sebuah mutu yang tidak jauh larinya dibandingkan IKLIM yang asal dengan menawarkan vokal Syafiq yang memiliki alunan seperti arwah Saleem.

Bagi Syafiq, ia bukan sahaja satu peluang, tetapi juga satu tanggungjawab yang amat besar memandangkan IKLIM adalah satu nama yang sudahpun dipasakkan sebagai 'legend' oleh peminat mereka.

"Saya harap semua peminat IKLIM akan menerima dan menyokong penampilan saya bersama mereka untuk projek single dan konsert yang bakal diadakan.

"Sudah tentunya ia bukan mudah kerana saya ni begitu kerdil kalau nak dibandingkan dengan
abang-abang IKLIM yang lebih jauh memiliki nama yang besar.

"Bagaimanapun, insya-Allah saya sedia menggalas tanggungjawab ini selepas IKLIM hadir menawarkan peluang tersebut kepada saya.

"Insya-Allah saya akan cuba menyempurnakan tugas itu dengan segala kemampuan yang saya ada," kata Syafiq yang aktif menyanyi di pelbagai acara dan pertunjukan.

Kemasukan Syafiq ke dalam IKLIM buat masa ini bukanlah sebagai anggota tetap dan hanya untuk menjayakan single terbaharu kumpulan itu selain konsert.

"Buat masa ini saya akan bergerak dengan IKLIM dan juga secara solo seperti biasa, namun kita tengoklah nanti perkembangan dari semasa ke semasa memandangkan semua anggota IKLIM yang ada ini sebenarnya sudah seperti keluarga saya sendiri dan mengenali mereka sejak sekian lama.

"Jadi tiada masalah untuk menimbang sebarang kemungkinan di masa hadapan, biarlah waktu yang menentukannya," katanya lagi.