HIBURAN
Ungu pilih Malaysia untuk persembahan orkestra sulung sempena ulang tahun ke-29

Konsert akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai 2025. - Gempak
KUMPULAN rock terkenal Indonesia, Ungu, memilih Malaysia sebagai lokasi bagi konsert orkestra penuh pertama mereka dalam sejarah 29 tahun penubuhan kumpulan itu.
Ringkasan AI
- Konsert orkestra pertama Ungu: Kumpulan rock terkenal Indonesia, Ungu, memilih Malaysia sebagai lokasi bagi konsert orkestra penuh pertama mereka dalam 29 tahun sejarah penubuhan.
- Gabungan muzik rock dan orkestra: Konsert ini bukan sekadar persembahan ulang tahun biasa, tetapi menampilkan susunan muzik orkestra eksklusif yang belum pernah dipersembahkan oleh Ungu sebelum ini.
- Tarikh dan lokasi konsert: Konsert akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 12 Julai 2025, dengan tiket dijual melalui Ticket2U.
Vokalisnya, Pasha, menyifatkan setiap kali Ungu kembali ke Malaysia, mereka berasa seolah-olah pulang ke rumah sendiri kerana sambutan peminat di sini yang luar biasa. Menurutnya, Malaysia sentiasa memberikan kenangan manis kepada mereka sepanjang perjalanan seni Ungu.
“Setiap kali kami tampil di Malaysia, suasana terasa sangat istimewa. Macam balik kampung. Peminat di sini selalu beri tenaga luar biasa yang buat kami ingin kembali lagi dan lagi,” kata Pasha ketika ditemui media Indonesia sebelum konsert diumumkan secara rasmi.
Ungu yang turut dianggotai oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass), dan Rowman (dram), menyifatkan konsert ini sebagai detik penting dalam karier mereka, apatah lagi ia membabitkan gabungan muzik rock dengan elemen orkestra secara langsung.
Makki berkata konsert kali ini bakal menampilkan susunan lagu yang dipersembahkan dalam bentuk berbeza, dengan pencahayaan, susunan pentas dan keseluruhan konsep yang dirancang bagi membawa penonton menyelusuri evolusi muzik Ungu dalam suasana lebih megah dan emosional.
Menurut Enda pula, mereka sedang melalui proses pemilihan lagu yang ketat untuk memastikan repertoir konsert benar-benar menyerlah dalam susunan muzik orkestra. Fokus mereka adalah untuk memastikan setiap lagu membawa impak emosi yang kuat kepada penonton.
“Kami mahu setiap lagu yang dipersembahkan nanti sesuai dengan konsep orkestra. Ini bukan hanya tentang nyanyian, tapi bagaimana muzik itu dapat dirasa dari dalam hati,” jelas Enda.
Pasha menambah bahawa Ungu bukan sekadar band rock biasa, tetapi merupakan keluarga yang telah melalui pelbagai fasa kehidupan bersama. Beliau turut berkongsi bahawa rahsia kekuatan kumpulan itu terletak pada komunikasi terbuka dan toleransi sesama anggota.
“Kami berbincang bila ada isu. Kami tidak biarkan masalah membusuk. Setiap orang ada pendapat, dan kami hormat satu sama lain. Itulah sebab kami masih bersama selepas hampir tiga dekad,” katanya.
Konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu juga menjadi pentas untuk kumpulan itu mengucapkan terima kasih kepada peminat setia yang menyokong mereka sejak era kegemilangan lagu-lagu seperti Demi Waktu, Andai Ku Tahu, dan Tercipta Untukku.
Penganjuran konsert ini di Kuala Lumpur turut membuktikan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat di Malaysia yang sentiasa setia dan memberi sokongan padu setiap kali mereka muncul di sini.
Tiket konsert berkenaan kini mula dijual melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula daripada RM288 hingga RM1,588 mengikut kategori tempat duduk.
Dengan gabungan muzik orkestra yang menyentuh perasaan dan keintiman lirik yang menjadi identiti Ungu, konsert ini dijangka menjadi antara persembahan paling epik dan bermakna dalam sejarah kerjaya mereka. -- Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami