Anda bosan dengan struktur kandungan yang sama di stesen-stesen radio di Malaysia? Viral Radio menjanjikan sesuatu yang berbeza buat anda.

Kena dengan namanya, Viral Radio menyediakan cerita-cerita tular buat pendengar radio digital ini di aplikasi Raku.

Penerbitnya, Zahid Baharuddin dan Aril Pilus berkongsi cerita Viral Radio bersama wartawan Astro AWANI ketika dihubungi.

“Viral Radio adalah platform yang menyalurkan informasi dan hiburan sepanjang 24 jam, tujuh hari seminggu.

“Sudah namanya Viral, kami mengetengahkan cerita-cerita yang hangat diperkatakan dalam dan luar negara sepanjang minggu,” kata Zahid.



Aril pula berkata, untuk memastikan informasi yang disampaikan tetap relevan sepanjang minggu, cerita yang dikumpulkan mestilah mempunyai mesej yang boleh memberi pengajaran kepada pendengar.

“Kami bukan hanya menyajikan cerita hiburan, malah berita am turut kami sediakan. Kami juga menjemput tetamu dalam segmen ‘Siapa Itu?’ untuk menceritakan cerita menarik dari pelbagai aspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Segmen yang disediakan adalah Viral Padu yang memberi input tentang isu semasa yang tular sepanjang minggu. Selain itu, segmen ‘Dari Telinga Ke Hati’ merupakan playlist yang boleh menghiburkan pendengar. Segmen lain adalah Siapa Itu dan Sembang Kencang.

Antara lain yang menarik adalah, pendengar boleh mendengar Viral Radio dengan memuat naik aplikasi Raku secara percuma menerusi App Store dan Playstore.

Anda juga boleh mendengar Viral Radio menerusi laman sesawang Raku.my.