KUALA LUMPUR: Dalam pembinaan sesebuah tamadun bangsa, tiada siapa yang boleh menafikan peranan dan komitmen kaum wanita.

Golongan itu harus dilihat sebagai sebahagian daripada sistem yang menyumbang pada kejayaan dan kegemilangan tamadun itu.

Apa lagi, di era dunia serba moden hari ini, jasa dan sumbangan besar kaum ini harus diperlihatkan dan dizahirkan sebagai tanda terima kasih masyarakat kepada mereka.

Seiring sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang disambut hari ini, penghargaan kepada kaum wanita dizahirkan menerusi melodi indah yang bertajuk Wanita Adalah Rakyat.

Wanita Adalah Rakyat merupakan sebuah lagu pop yang menterjemahkan seluruh solidariti dan harapan kepada kaum wanita di seluruh negara.

Tidak sekadar hiburan, sebaliknya, naskhah ini menyelit peringatan mengenai peranan wanita dalam pembinaan negara, kata pengasas pertubuhan bukan kerajaaan, Pergerakan Orang Wanita, Empowerment and Revolution (POWER) dan Penerbit Eksekutif Wanita Adalah Rakyat, Datin Fazar Arif.

“Dalam penciptaan lagu Wanita Adalah Rakyat, saya teringat bagaimana wanita di Malaysia masih berjuang untuk mencapai status yang sama dalam ruang yang mereka duduki,” kata Fazar.

Menurut beliau, sekiranya Malaysia serius untuk mencapai status negara maju, wanita yang membentuk hampir 50 peratus daripada penduduk harus dilayan sebagai rakan kongsi dalam membina negara kita.

Sementara itu, pencipta bersama lagu Wanita Adalah Rakyat, Anas Amdan berkata, karya terbaharunya itu merupakan antara usahanya untuk mengajak seluruh masyarakat menyedari tekanan yang dihadapi wanita setiap hari.

“Sebagai seorang lelaki, suami dan bapa, saya mahu wanita hidup dalam persekitaran yang selamat,” kata Anas yang menulis lagu itu bersama Takahara Suiko and Loca B.

Wanita Adalah Rakyat memperlihatkan kolaborasi pengigiat-penggiat seni terkenal, Nikki Palikat, Kaka Azraf, Takahara Suiko, Loca B, Sharifah Amani dan Fatimah Abu Bakar.

Karya yang juga menampilkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar itu diterbitkan oleh
KGE Studio.