Skip to main content

Malaysia

Selangor lancar 'BLAST' bagi perkasa PKS tempatan dalam rantaian bekalan global

SHAH ALAM, 14 Julai -- Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor Ng Sze Han (empat kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris (empat kiri) bergambar bersama rakan strategik pada Pelancaran Program Business Linkages & Advancement Programme(BLAST) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ng (empat kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Datuk Hasan Azhari Idris (empat kiri) bergambar bersama rakan strategik pada Pelancaran Program BLAST hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Selangor melancarkan Program Jalinan dan Pemerkasaan Perniagaan Invest Selangor (BLAST) bertujuan membina kapasiti dan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta mengintegrasikannya ke dalam rantaian bekalan global yang bernilai tinggi.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata program berstruktur selama enam bulan itu akan membimbing 12 syarikat dalam memenuhi keperluan rakan korporat strategik, sekali gus mempersiapkan mereka untuk meraih kontrak komersial.

Beliau berkata inisiatif itu yang dilaksanakan oleh Invest Selangor Bhd turut bertujuan membantu PKS yang mengambil bahagian mencapai peningkatan hasil yang disasarkan sebanyak lima peratus menjelang 2030.

BLAST memberi tumpuan kepada empat sektor strategik iaitu aeroangkasa, rel, sains hayat dan teknologi digital, katanya sambil menambah sektor itulah yang akan mencorakkan dekad seterusnya untuk ekonomi Selangor dan menawarkan peluang kepada PKS untuk berkembang seiring dengan syarikat-syarikat bertaraf dunia.

"Apabila PKS kita dapat memenuhi piawaian syarikat-syarikat terkemuka yang beroperasi di Selangor, mereka seterusnya mampu memenuhi piawaian di peringkat global.

“BLAST bukan sekadar mempersiapkan PKS kita untuk menjadi pembekal. Ia turut menyediakan mereka untuk berdaya saing di peringkat global,” katanya semasa melancarkan program itu hari ini.

Ng berkata rakan korporat strategik yang menyertai program itu ialah Base Maintenance Malaysia Sdn Bhd, Sime UMW Aerospace, Duopharma Biotech Bhd, Bridge Data Centres Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Program berkenaan turut disokong oleh rakan ekosistem iaitu Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia, Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia dan Perbadanan Industri Rel Malaysia.

"Antara pencapaian penting dalam program ini adalah sesi pemadanan perniagaan pada Oktober ini yang akan diadakan sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 14 hingga 17 Oktober.

"Saya dengan sukacitanya menjemput anda semua untuk menyertai kami. SIBS merupakan platform yang menghubungkan Selangor dengan dunia dan pada tahun ini PKS kita akan menjadi tumpuan utama," katanya.

Ng juga berkata Selangor tidak mahu menjadi juara dari segi angka sahaja, meskipun negeri itu mencatatkan prestasi kukuh pada 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM460.1 bilion dan pelaburan diluluskan yang tertinggi sebanyak RM33.5 bilion.

“Ujian sebenar adalah berapa banyak kontrak yang berjaya diraih oleh syarikat tempatan kita. Ia juga bergantung kepada berapa banyak PKS Selangor yang berjaya menembusi rantaian bekalan syarikat global yang kita bawa masuk. Ia adalah berapa banyak firma tempatan yang berkembang daripada pembekal kepada rakan kongsi dan daripada rakan kongsi kepada juara industri.

“Setiap pelaburan yang kita bawa masuk mesti memberi manfaat jangka panjang. Ia mesti membeli daripada pembekal tempatan. Ia mesti menggaji dan melatih bakat tempatan. Ia mesti memindahkan pengetahuan kepada firma tempatan. Begitulah caranya pelaburan diterjemahkan kepada pembangunan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama, Invest Selangor dan rakan kongsinya Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), memaklumkan bahawa di bawah program berkenaan, MTDC akan menerajui pengurusan dan pelaksanaan program pembangunan kapasiti PKS bersama rakan kongsi korporat dan ekosistem.

Rakan kongsi yang terlibat akan memanfaatkan kepakaran mereka dalam membimbing, memindahkan pengetahuan dan rangkaian institusi untuk memperkukuh ekosistem perindustrian Selangor serta meningkatkan daya saing syarikat tempatan, tambahnya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement