APPLE hari ini mula menawarkan kemas kini iOS 17.5.1 kepada pengguna iPhone, sekali gus mengatasi masalah pepijat yang membuatkan pelbagai gambar yang dipadam hadir semula ke peranti pengguna.

Sebelum ini, selepas kemas kini iOS 17.5, sejumlah pengguna mengatakan pelbagai gambar yang telah dipadam hadir semula ke iPhone mereka – dan dalam beberapa kes, ia melibatkan gambar yang telah dipadam bertahun lamanya.

Apple tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan dengannya, dan sekadar menawarkan kemas kini iOS 17.5.1 dan menyatakan pada kemas kini berkenaan ia mengatasi masalah pepijat tersebut.

Apple mengatakan kemas kini berkenaan memperbaiki kerosakan pangkalan data yang membuatkan gambar kelihatan pada aplikasi Photos, walaupun telah dipadam.

Beberapa pengguna yang pentingkan privasi turut mempersoalkan berkenaan perkara ini.

Mengikut tetapan pada aplikasi, gambar akan disimpan selama 30 hari selepas dipadam, sebelum ia dipadam sepenuhnya daripada pustaka.

Namun, beberapa gambar yang dipadam bertahun lamanya turut muncul kembali, membuatkan pelbagai pengguna mempersoalkan berkenaan dengan perkara ini.

Buat masa ini, Apple yang sering menekankan privasi melalui penawaran produk mereka, masih tidak mengeluarkan penjelasan lanjut berkenaan masalah pepijat ini, dan bagaimana gambar yang telah terpadam lama boleh hadir kembali pada pustaka gambar pengguna.