JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengenal pasti lebih 1,000 rumah setinggan di sepanjang jajaran Sungai Skudai akan dipindah bagi menyelesaikan isu pencemaran sungai berkenaan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, setinggan berkenaan terletak sepanjang 52 kilometer (km) di jajaran Sungai Skudai.

"Penempatan setinggan itu dikenal pasti antara punca Sungai Skudai masih teruk tercemar. Ini kerana sikap penduduk yang masih membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai.

"Bagi memastikan penyusunan semula setinggan di jajaran Sungai Skudai dapat dilaksanakan, Jawatankuasa Bertindak Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Johor Bersih di Sungai Skudai yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad.

Mohd Jafni berkata, Jawatankuasa Bertindak RKK Sungai Skudai akan bermesyuarat setiap bulan bagi memastikan sasaran pencemaran Sungai Skudai diatasi dalam tempoh lima tahun.

"Semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) akan memainkan peranan utama bagi mencapai sasaran digariskan Menteri Besar bagi memastikan Sungai Skudai tidak lagi tercemar.

"Selain penyusunan semula setinggan, jawatankuasa bertindak juga akan memastikan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengekang pembuangan sampah, pemantauan tapak pembuangan sampah selain pengindahan kawasan sungai serta landskap," katanya.

Sebelum ini, jajaran Sungai Skudai yang terletak dalam kawasan penempatan terutama setinggan dilaporkan tercemar pada tahap Kelas Lima iaitu dikategorikan pencemaran paling teruk di negara ini.

Namun, terdapat juga sebahagian kawasan Sungai Skudai dikategorikan pada Kelas Tiga dan Kelas Empat. - Sinar Harian