PUTRAJAYA: Seramai 1,020 banduan yang telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat boleh memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

Ia susulan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 [Akta 847] dikuatkuasakan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jemaah menteri pada 30 Ogos lalu telah bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding Mahkamah berhubung dengan semakan dua hukuman tersebut yang telah dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

"Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor-faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili mereka dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman melalui peguam yang dilantik oleh mahkamah.

"Bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, mereka boleh mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)," jelas Azalina.

Menurutnya, kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan itu mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia.

"Penguatkuasaan Akta 847 melalui mekanisme yang telah dipersetujui oleh jemaah menteri turut mencerminkan komitmen yang tinggi oleh kerajaan dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat," katanya.

Beliau berkata, hal itu membuktikan bahawa prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia adalah sentiasa terpelihara.

"Malahan, ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian