Berlaku peningkatan jumlah pengguna kenderaan di Lebuhraya PLUS pada sambutan Aidlfitri tahun ini yang menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, dianggarkan 1.3 juta kenderaan kelas 1 menggunakan lebuhraya tersebut sejak diskaun tol berakhir tengah malam, pada Khamis.

"Daripada perangkaan yang kami dapati sejumlah 1.3 juta kenderaan kelas 1 telah pun menikmati diskaun tol sebanyak 20 peratus yang kita berikan daripada hari pertama pada 5 Jun, pada Rabu iaitu bermula pada tengah malam sehingga malam tadi (Khamis)," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Yusuf berkata, dijangka berlaku pertambahan jumlah kenderaan pada hari ini di beberapa lebuhraya utama di seluruh negara dan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki ibu negara.

"Keadaan trafik sekarang sudah mula sesak di sepanjang laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di mana trafik dari kedua-dua arah semakin tinggi tetapi lebih ketara adalah trafik mengarah balik ke Kuala Lumpur sama ada dari Utara mahupun Selatan

"Saya jangkakan keadaan trafik ini berterusan sepanjang malam. Mengikut rekod kami, trafik hanya kembali kepada keadaan asal pada jam 3.30 pagi. Jadi, kita jangkakan trend ini akan sama untuk hari ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusuf turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan pulang ke kampung halaman dan kembali ke ibu negara.

Katanya, statistik kematian melibatkan penunggang motosikal sangat membimbangkan.

"Elakkan waktu-waktu puncak di mana kita (penunggang motosikal) duduk bersama dalam kesesakan sepanjang lebuhraya. Selain itu, kalau boleh elakkan menunggang pada waktu malam dan beri tumpuan semasa menunggang.

"Jangan menunggang secara melulu atau memotong menggunakan laluan kecemasan secara tidak teratur dan beri tumpuan semasa mengendalikan kenderaan," ujarnya.

Sejak OPS Selamat dilancarkan pada 29 Mei lalu, 13 daripada 18 kematian yang direkodkan adalah membabitkan penunggang motosikal.

Lebuhraya PLUS merupakan salah satu daripada 23 syarikat konsesi lebuh raya yang menawarkan diskaun bayaran tol antara 10 hingga 33 peratus kepada kenderaan Kelas 1 pada hari pertama Aidilfitri.

Orang ramai yang mahu mendapatkan perkembangan terkini mengenai laluan trafik boleh melayari laman web PLUS dan Twitter PLUS Trafik.