Debu, lumpur tebal "selubungi" Aceh Tamiang, penduduk mula bangkit daripada kemusnahan

Keadaan di Aceh Tamiang di sini selepas banjir besar melanda kawasan berkenaan baru-baru ini. - Gambar/ Bernama
ACEH: Hampir tiga minggu setelah banjir besar melanda Sumatera termasuk di Aceh Tamiang di sini, penduduk tiada pilihan lain selain mula mencari sisa kekuatan memulakan hidup baharu walaupun masih "bergelumang" dengan lumpur tebal dan diuji dengan kehilangan kediaman.
Wartawan Bernama yang berkesempatan ke kawasan ini bagi mengikuti misi kemanusiaan melihat sendiri kesan banjir buruk di daerah terbabit, yang secara keseluruhannya melanda tiga wilayah, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat pada 26 Nov lepas.
"Jika tsunami pada 2004 hanya melanda di kawasan pesisir pantai, banjir ini memusnahkan banyak tempat, di bandar, bukit," kata seorang penduduk, Juriah Nasutuion, 30, dari Kampung Minuran, Bukit Rata, di sini.
Aceh Tamiang, yang terletak di hujung paling timur wilayah Aceh, kira-kira 130 kilometer atau hampir tiga jam perjalanan dari Medan, kini tidak ubah seperti "bandar lumpur", menggambarkan betapa dahsyatnya banjir yang melanda kawasan ini yang menjadi antara lokasi paling teruk terjejas akibat bah berkenaan.
Sama seperti yang tular dalam media sosial, di sepanjang lebih 40 kilometer jalan utama di sini, kelihatan rumah-rumah dihanyutkan hingga bahu jalan, selain sekolah, balai polis, masjid serta pejabat kerajaan yang turut terjejas teruk.
Kesan banjir juga jelas kelihatan pada ladang kelapa sawit yang ditenggelami air, dengan sebahagian tanaman mati dan rosak.
"Rumah saya hancur, tempat saya membesarkan 14 anak hilang sekelip mata," kata Maidirhana Suritsino, 62, juga dari Bukit Rata yang menunggu anaknya berbaris mendapatkan bantuan pakaian di Masjid Al-Muhyiddin, Minuran di Aceh Temiang.
Dalam keadaan krisis bekalan air bersih dan makanan pascabanjir yang menghantui penduduk di sini, kelihatan deretan lori tangki membawa bekalan air ke kawasan terjejas, selain dapur-dapur umum yang berfungsi menyediakan makanan untuk penduduk.
Puluhan pusat operasi bencana turut didirikan bagi menyelaras pengagihan bantuan kepada penduduk terjejas, manakala deretan khemah pemindahan sementara didirikan secara berselerak di beberapa kawasan, antaranya berhampiran jambatan tinggi.
Penduduk turut dilihat memakai pelitup muka susulan keadaan lumpur yang semakin mengering sehingga mengeluarkan debu, manakala sumbangan daripada pelbagai pihak terus disalurkan bagi meringankan beban mangsa banjir, walaupun dalam keadaan jalan raya yang rosak teruk dan berdebu akibat bencana berkenaan.
Namun, di sebalik kemusnahan, ketabahan penduduk di kawasan ini yang juga dikenali sebagai pintu gerbang memasuki wilayah Aceh, mula terserlah apabila mereka perlahan-lahan bangkit memulihkan kehidupan seharian.
Di pekan Kualasimpang misalnya, peniaga mula membersihkan kedai masing-masing, manakala beberapa premis menjual makanan kembali beroperasi walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan dan kesan lumpur masih jelas kelihatan.
Khemah penempatan sementara yang didirikan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) terus berfungsi sebagai pusat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal, selain masjid dan kemudahan awam yang dijadikan pusat pemindahan sementara.
Namun, jumlah mangsa banjir yang terlalu ramai tidak membolehkan kesemua mereka untuk diberi khemah penempatan, menyebabkan ada yang terpaksa mencari tempat perlindungan sendiri.
"Sudah tiga minggu saya berpindah-randah mencari tempat perlindungan, sekarang saya berlindung di sebuah kedai bersama-sama anak kecil saya yang berusia dua tahun," kata Juriah.
Setakat semalam, BNPB menyatakan jumlah korban akibat bencana itu mencecah 1,068 orang, 190 orang masih hilang dan lebih 7,000 mangsa cedera.
Misi Bantuan Kemanusiaan ke Sumatera oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan pasar raya Econsave Johor bermula semalam hingga 23 Dis bertujuan membantu mangsa bencana, dengan fokus kepada bekalan air bersih, makanan dan barangan keperluan harian.
Mereka yang ingin menyumbang kepada mangsa boleh membuat sumbangan menerusi nombor akaun MyCARE, iaitu 8602135592 (CIMB).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


