Seramai 1,368 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi besar-besaran di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, pada Isnin.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud, operasi pada pukul 6.30 pagi itu disertai 1,136 pegawai dari pelbagai agensi.

Katanya, operasi ini meliputi seluruh zon dalam kawasan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur yang
dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan 6 (PKPD6).

"Seramai 7,551 warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 1,368 PATI telah ditahan dan dibawa untuk proses dokumentasi di JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar (790), Indonesia (421), India (54), Pakistan (6), Bangladesh (78) dan selebihnya warga negara lain.

"Jumlah tahanan ini terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, kesemua warga asing yang diperiksa dan PATI yang ditahan telah disahkan negatif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas/permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," jelasnya.

Tambah beliau, mereka semua akan diusir ke negara asal setelah menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.

Antara agensi terlibat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)