KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,586 pelajar berjaya mengikuti pengajian di Pusat PERMATA@Pintar Negara (PPPN) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Daripada jumlah itu, 1,061 merupakan alumni sejak ia ditubuhkan pada 2011.

Timbalan Pengarah PPPN UKM Mohd Hakimie Zainal Abidin berkata 70 peratus daripada jumlah itu adalah pelajar daripada keluarga golongan B40 dan M40.

PPPN UKM atau dikenali Kolej PERMATA@Pintar merupakan program khas pertama di Malaysia untuk pelajar mempunyai potensi intelek semula jadi yang tinggi, selain bertanggungjawab mengenal pasti pelajar pintar dan berbakat dari seluruh negara serta memberikan peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.

Mohd Hakimie berkata pihaknya membantu dari proses saringan awal dengan mengesan pelajar-pelajar pintar melalui Jabatan Pendidikan setiap negeri dan bergerak ke setiap sekolah di seluruh negara.

"Bantuan juga melibatkan pengurusan pengambilan ujian-ujian di sekolah seluruh negara selain menyediakan biasiswa kepada anak-anak berkeperluan antaranya BUDI Permodalan Nasional Berhad, Yayasan Johawaki, Yayasan Sabah, Yayasan Pahang, Yayasan Sarawak serta Biasiswa Kecil Persekutuan dan Elaun Murid Khas KPM (Kementerian Pendidikan)," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata pusat itu juga mempunyai pelajar autisme genius yang kini menunggu untuk memasuki UKM bagi program Ijazah Sarjana Muda selain menawarkan pengalaman pendidikan berkualiti kepada anak-anak dalam kalangan B40 dan M40 bagi mengubah nasib mereka.

"Mereka yang berada di sini berpeluang untuk menjalankan penyelidikan dengan profesor tersohor di universiti, dalam masa sama dapat meningkatkan keyakinan mereka membentangkan kajian di peringkat universiti," katanya.

Seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, Mohd Hakimie berkata pusat berkenaan turut menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk melahirkan tenaga muda yang pintar dan berbakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sekuriti siber, Internet pelbagai benda (IoT) dan data sains.

Selain itu, PPPN UKM menawarkan kursus Advanced Placement dengan pelbagai mata pelajaran antaranya biologi, fizik, kimia dan statistik serta subjek tambahan seperti AI dan teknousahawan.

"Satu daripada fokus penubuhan PERMATA@Pintar adalah untuk mengurangkan data penghijrahan individu berkemahiran tinggi ke luar negara. Kita boleh lihat anak pintar ini sentiasa diambil oleh negara lain.

"Dengan adanya PERMATA@Pintar, kita nak pastikan anak pintar ini dapat meneruskan pengajian di negara ini selain berpeluang meneruskan minat, cita-cita dan menyumbang ke arah pembangunan negara, selain merangkul kejayaan bergelar pemenang anugerah nobel," katanya.

Sementara itu, Nur Aliah Atikah Tumiran, 18, yang baru sahaja menduduki Sijil Pelajaran Malaysia berkata sepanjang lima tahun menuntut di pusat berkenaan, para pelajar diberi penekanan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Ketika umur 16 tahun, saya belajar subjek AP Statistik dan dari situ saya sedar minat saya ke arah statistik," katanya yang telah menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di University of Otago, New Zealand dalam Ijazah Sarjana Muda Seni dan Perdagangan selama empat tahun bermula Julai ini.

Anak kepada seorang tukang pembuat rumah itu turut menasihati para pelajar lain agar tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib diri sendiri serta keluarga.

-- BERNAMA