1,621 graduan dari 11 fakulti Taylor's University menerima ijazah mereka di Majlis Konvokesyen ke-11 Taylor's University pada Sabtu.

Graduan menerima diploma dan ijazah mereka daripada Canselor, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Dalam ucaptama Naib Canselor dan Presiden Taylor's University, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, beliau berkata setiap graduan telah menunjukkan potensi dan pencapaian yang cemerlang semasa di universiti.

Beliau menambah bahawa industri dalam semua sektor akan mendapat banyak manfaat daripada perspektif graduan-graduan muda ini.

"Saya percaya universiti kami bersedia untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik dan memupuk kemahiran mereka untuk menjadi pemimpin serba boleh yang mampu menyumbang kepada masyarakat dengan berkesan," katanya sambil menambah kemahiran yang pelajar capai di universiti tidak terhenti setakat di dalam kelas tetapi akan digunapakai untuk jangka masa panjang.

Hassan berkata, Taylor's turut menyaksikan penganugerahan sulung Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan kepada Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala.

Datuk Seri Idris Jala menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan daripada Canselor Taylor's University, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Syed Jalaludin Syed Salim. - Foto Taylor's University

Selain itu, Taylor's mendapat penghormatan untuk menjadi tuan rumah acara town hall Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sehari sebelum majlis tersebut yang menyaksikan ketua negara itu berkongsi pandangan beliau dengan lebih 500 pemimpin belia dari Asia Tenggara, termasuk pelajar Taylor's.

Mewakili School of Communication (SOC), pelajar terbaik Sharon Leow Hsin Yuek, 22 dalam ucapannya berkata, bahawa pencapaian beliau dan rakan-rakannya tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan inspirasi warga pendidik di universiti.

Valedictorian, Sharon Leow bersama ahli keluarganya selepas menerima ijazah sarjana muda Bachelor of Mass Communication (Honours) (Public Relations) di Taylor's University. - Foto Sharon Leow
"Taylor's telah sekali lagi berjaya menghasilkan pemimpin muda dilengkapi dengan nilai-nilai kebijaksanaan, integriti dan kecemerlangan," kata Leow yang juga penerima biasiswa Taylor's World Class Scholarship dan pernah diiktiraf sebagai SOC Communicator of the Year semasa di universiti.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Majlis Taylor's University, Datuk Loy Teik Ngan, Timbalan Naib Canselor Profesor Dr Pradeep Nair, dekan dan kakitangan akademik setiap fakulti.