BANDAR JENGKA: Sebanyak 1,850 unit Rumah Pahang yang terbengkalai antara tujuh hingga 12 tahun di empat daerah di negeri ini akan disambung bina dan dijangka siap hujung tahun ini.

Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Ismayati Ismail berkata, projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) itu telah lama terbengkalai.

“Kawasan projek PGBF yang membabitkan 10 tapak projek di Maran, Kuantan, Jerantut dan Rompin melibatkan kawasan seluas kira-kira 77.613 hektar.

“Di Maran, tapak projek terlibat di Felda Jengka 6 (10 unit), Kampung Awah (56 unit), Jengka 1 (120 unit), Jengka 11 (180 unit), Bukit Tajau (100 unit) manakala di Kuantan pula membabitkan Bukit Sagu (300 unit) dan 400 unit di Felda Keratong 7, Rompin,” katanya, hari ini.

Katanya, harga Rumah Pahang (PGBF) bernilai RM120,000 seunit membabitkan lot tengah dengan keluasan binaan 800 kaki persegi dan keluasan tanah 1,400 kaki persegi dan harga lebih murah daripada harga pasaran berikutan kerajaan mengurangkan nilai premium tanah.

“Pihak kami membuka pendaftaran bagi projek generasi baharu Felda yang kita jenamakan semula kepada Rumah Pahang di mana kerajaan negeri Pahang telah mengambil alih projek rumah yang terbengkalai agak lama.

“Bagi rumah lot sudut, harganya berbeza mengikut keluasan tanah dan akan dinilai setelah permohonan dibuat oleh pembeli,” katanya.

Katanya, rumah yang ditawarkan lebih mesra pemilik berikutan beberapa bahagian seperti tingkap dinaik taraf sesuai dengan keperluan semasa, roadshow pembukaan akan diteruskan di lokasi lain setelah diadakan di Felda Sungai Retang dan Felda Jengka Sebelas.

“Pembinaan semua unit rumah ini akan dimulakan serentak dan perkembangannya telah mencapai 70 peratus dan dijangka hujung tahun akan siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 1, di sini, hari ini.

“Pada tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan cadangan pengambilalihan projek PGBF yang terbengkalai dibuat secara usaha sama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan pihak pemaju,” katanya.

Azjuriyahti berkata, pembinaan Rumah Pahang menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf yang mempunyai ketahanan tinggi dan lebih menjimatkan berbanding kaedah pembinaan biasa.