Lebih satu bilion interaksi berkaitan Piala Dunia Brasil 2014 di Facebook dicatat dalam tempoh 18 hari.

Daripada 141 juta pengguna dilaporkan pada 26 Jun, kini interaksi mengenai Piala Dunia di Facebook meningkatkan kepada 220 juta pengguna.

Facebook mengumumkan interaksi ini adalah yang paling banyak di laman media sosial itu, merangkumi 'wall post', komen dan 'likes' di antara 12 Jun hingga 29 Jun.

Angka satu bilion dicapai apabila trafik naik secara mendadak sewaktu pusingan kalah mati bermula.

Memandangkan kejohanan ini hanya akan berakhir dua minggu lagi, jumlah interaksi dijangka bertambah dan bakal mencatat rekod baharu sebagai acara media sosial terbesar di dunia.

Topik yang sering jadi keutamaan ialah gol, rebahan kontroversi serta keputusan di luar jangkaan.

Facebook menyifatkan Piala Dunia FIFA sebagai sesuatu yang unik berbanding kejohanan lain.