10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena program Rancakkan MADANI

Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI anjuran PERKESO yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pekarangan Dataran Putrajaya.
PUTRAJAYA: Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival LINDUNG Kerjaya@Program Rancakkan MADANI anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pekarangan Dataran Putrajaya, di sini.
Dalam kenyataan hari ini, PERKESO memaklumkan, pelbagai jawatan ditawarkan meliputi industri utama, termasuk bidang berkemahiran tinggi dan teknikal seperti kejuruteraan, geologi, maritim, keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan tawaran gaji mencecah hingga RM13,000.
"Karnival ini merupakan peluang terbaik bagi mereka yang serius ingin mendapatkan pekerjaan berkualiti, membina rangkaian profesional dan memperoleh panduan langsung daripada pakar industri satu platform yang tidak wajar dilepaskan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, karnival yang bermula 9 pagi hingga 6 petang itu menghimpunkan lebih 30 majikan terkemuka negara, antaranya FGV Holdings Bhd, SD Guthrie, Media Prima Bhd, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, West Port, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia, sekali gus menjadikannya antara platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penutup tahun 2025.
Antara jawatan yang ditawarkan termasuk pengurus dengan gaji antara RM10,000 hingga RM12,999; juruanalisis sistem dengan gaji maksimum hingga RM10,000 dan ke atas; pegawai perubatan dengan gaji RM10,000 hingga RM12,999; pengurus pembangunan perniagaan dengan gaji maksimum RM12,999; serta pengurus kanan, bahagian gudang dengan gaji RM8,000 hingga RM9,999.
Kenyataan itu memaklumkan, senarai jawatan ditawarkan merangkumi peluang untuk graduan baharu, pencari kerja aktif, serta individu yang mahu meningkatkan kerjaya ke tahap lebih tinggi dalam sektor strategik negara.
Bagi memastikan pencari kerja membuat persediaan terbaik, PERKESO turut menyediakan khidmat kaunseling kerjaya, semakan resume secara intensif, dan konsultasi bersama pegawai perkhidmatan pekerjaan yang berpengalaman.
"Orang ramai digalakkan membuat prapendaftaran di www.myfuturejobs.gov.my/careerfairbagi melancarkan proses di tapak karnival.
"Pencari kerja juga diingatkan hadir dengan resume terkini, berpenampilan profesional dan bersedia menghadapi sesi temu duga," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


