GEORGE TOWN:Penahanan dua lelaki di sebuah kondominum di Batu Uban, Pulau Pinang akhirnya berjaya membawa kepada pembongkaran sindiket memproses dan mengedar dadah apabila polis melakukan siri serbuan berkaitan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Perak.

Polis turut menahan enam lagi ahli sindiket termasuk dalang yang berusia 38 tahun dalam keseluruhan 10 serbuan, bermula pada sekitar jam  5 petang Ahad hingga 3 petang pada 22 dan 23 November lepas.

Pelbagai jenis dadah antaranya heroin, heroin base, pil ekstasi dan syabu bernilai RM117,210 dirampas dalam serbuan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata berdasarkan siasatan, dalang utama sindiket itu yang ditahan di Simpang Ampat dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket dadah antarabangsa sebelum memprosesnya di kondomonium tersebut.

"Kita mula mengesan sindiket ini sejak September 2020. Kesemua mereka direman sehingga 29 November.

"Kita juga menyita kenderaan wang tunai dan barang kemas, barangan kemas dan tujuh kenderaan yang dianggarkan bernilai RM409,330," ujar Sahabudin, yang menambah, semua dadah dirampas itu boleh digunakan 44,255 penagih dadah. 

Menurutnya, kondomonium itu dijadikan sebagai makmal proses dadah sebelum mereka mengedarkan kepada ahli sindiket untuk pasaran di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Sahabudin berkata, tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Ujian air kencing ke atas dua suspek berusia 33 dan 40 tahun mendapati mereka positif dadah jenis opiate manakala selebihnya negatif.

Kesemua lapan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun itu direman sehingga 29 November bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.