Sukan SEA Thailand: Miki Ghazali prospek emas

Mikail Ghazali (kanan) mara ke final kategori 57kg Muay Thai lelaki selepas menewaskan wakil Laos, Thongbang Seuaphom, yang berusia 36 tahun di separuh akhir. - Foto Sinar Harian
PETARUNG Muay Thai negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, muncul prospek emas selepas mengesahkan tempat ke final acara lelaki 57 kilogram (kg) pada Sukan SEA Thailand 2025 dan bakal berdepan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun hari ini.
Ringkasan AI
- Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar muncul sebagai prospek emas selepas menewaskan wakil Laos dan berjaya mara ke final acara lelaki 57kg pada Sukan SEA Thailand 2025.
- Mikail, berusia 16 tahun, menunjukkan aksi agresif sejak awal perlawanan dan berjaya mengekalkan penguasaan sehingga tamat perlawanan, memberikan kelebihan mata 10-8 pada pusingan pertama.
- Dalam final, Mikail akan berdepan dengan cabaran getir menentang wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun, yang menewaskan wakil Myanmar dalam aksi separuh akhir, sementara atlet lain dari Malaysia turut berentap meraih kejayaan emas.
Beliau meneruskan tekanan pada pusingan kedua untuk mendahului 10-9, sebelum Thongbang tampil lebih agresif pada pusingan ketiga dengan beberapa kombinasi berbahaya.
Namun, kelebihan awal membolehkan Miki mengekalkan penguasaan sehingga tamat perlawanan.
Kejayaan itu melayakkan Miki mara ke final dalam penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan pada temasya dwitahunan berkenaan.
Sebelum ini, adik kepada bintang Muay Thai sensasi negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar itu menampilkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Filipina pada peringkat suku akhir menerusi serangan bertali arus yang memberi tekanan berterusan kepada lawan.
Di pentas final, Miki bakal berdepan cabaran getir menentang Suphakon yang menewaskan wakil Myanmar, Tit Saw Ah dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pertarungan itu dijangka sengit memandangkan Suphakon akan beraksi di hadapan penyokong sendiri dan menerima sokongan padu penonton tuan rumah.
Terdahulu, Insyad Rumijam, Nur Amisha Azrilrizal, Wassof Rumijam dan Eva Anastasia Warren muncul sebagai finalis terawal Malaysia dan dijadual berentap merebut kilaun emas hari ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


