IPOH: Seramai 10 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas pertuduhan secara bersama memperdagangkan 35 warga Indonesia termasuk kanak-kanak, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Ke Huat, 52; S Ananthan, 48; A Suresh, 38; Mohd Johan Musa, 38; S Sivalingam, 47, warga tempatan bersama lima warga Indonesia iaitu Eko Rahmadani, 22; Erfanni, 32; Tuah, 23; Siprianus Nahak Lutan, 36, dan Klau Nofrianus Erick, 34, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka mencapai niat bersama melakukan penyeludupan ke atas 35 migran warga Indonesia di kawasan kebun sawit Batu 10, Segari dalam daerah Manjung antara 20 Jun hingga 30 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon agar semua tertuduh tidak diberikan ikat jamin kerana kesalahan dilakukan menyentuh soal keselamatan selain boleh disenaraikan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Barisan peguam, Kashvinder Singh yang mewakili Ananthan; R Raja Segaran mewakili Ke Huat, Suresh dan Sivalingam serta Mohamad Khazali Yin mewakili Eko Rahmadani mohon diberikan ikat jamin dengan beberapa syarat tambahan atas alasan tuduhan dikenakan adalah kesalahan kurang serius di bawah Seksyen 26 Atipsom.

Azizah kemudiannya memberitahu mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan jaminan kerana kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 September depan untuk pengurusan kes.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah bot terdampar di pesisir pantai Segari, dekat sini, bersama sekumpulan orang dipercayai warga Indonesia.

Hasil pencarian di kawasan kebun sawit di Segari, berjaya menjejaki 35 warga Indonesia tersebut yang terdiri daripada 24 lelaki, 10 perempuan serta seorang kanak-kanak yang bersembunyi di kebun tersebut.

Hasil penahanan itu membawa kepada tangkapan semua suspek. -- Sinar Harian