KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 lelaki warga China termasuk seorang dalang kerana disyaki mempromosi pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud di dua kondominium sekitar Cheras di sini, Isnin lepas.

Kesemua suspek ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun itu disyaki bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan sejak Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan pelanggan warga China melalui panggilan telefon dan menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan dan mempromosi pelaburan tersebut dalam aplikasi Telegram.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, beliau berkata mangsa yang terpedaya perlu membayar RM65 (100 Yuan) bagi membuka akaun di laman sesawang bitcoin iaitu www.icoin.com untuk mendaftar.

"Mereka (mangsa warga China) selepas membuka akaun akan diberikan nama pengguna berserta kata laluan untuk mengakses laman sesawang berkenaan," katanya.



POLIS-PELABURAN 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Zam Halim berkata selepas itu, mangsa diminta membuat sejumlah transaksi wang dengan pakej pelaburan mata wang yang dipilih dan diminati tetapi kemudian menyedari mereka tertipu setelah tidak mendapat pulangan yang dijanjikan daripada pelaburan.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai beroperasi di China dan polis masih menyiasat sama ada kumpulan yang menjalankan kegiatan di Malaysia itu mempunyai hubung kait.

Beliau berkata sindiket itu menyasarkan 30 hingga 50 pelanggan warga China sehari untuk menyertai pelaburan berkenaan.

"Sindiket berkenaan mampu memperoleh pendapatan 10 hingga 15 peratus untuk setiap komisyen iaitu sekitar RM50,000 hingga RM100,000.

Daripada 10 suspek yang ditahan hanya seorang memiliki pas perjalanan sah. Kesemua mereka direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya bahawa polis turut merampas antaranya 21 telefon bimbit dan beberapa modem serta komputer riba.

-- BERNAMA