Kerajaan akan melaksanakan 10 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak pada tahun 2016 dalam usaha meningkatkan pembangunan di negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi projek tersebut ia sekali gus akan meningkatkan taraf hidup serta sosio ekonomi rakyat.

"Sepertimana yang saya pernah nyatakan dahulu dan saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak ini merupakan 'game changer' (ejen perubahan) bagi negeri Sarawak.

"Hasrat Kerajaan adalah untuk mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya lain di Malaysia yang telah berjaya mentransformasikan pembangunan di kawasan sekitarnya," katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak bagi Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, di sini, hari ini.

Malah, katanya Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai lebih RM16 bilion itu menjadi bukti kerajaan melaksanakan segala janjinya dalam menjadikan Sarawak dan Sabah maju seiring langkah Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Beliau berkata, pakej sepanjang 75 kilometer bernilai RM1.46 bilion itu akan memberi limpahan pembangunan ekonomi dan perpaduan dalam kalangan penduduk di negeri ini apabila ia siap sepenuhnya kelak.

"Berdasarkan teori ekonomi, jika kita membelanjakan RM16 bilion (Projek lebuh Raya Pan Borneo), nilainya akan berganda kepada lapan kali ganda untuk Sarawak. Ia akan membuka peluang baru dalam ekonomi setempat.

"Daripada segi perpaduan, sudah tentu projek lebuh raya dari Tanjung Datu ke Lawas ini akan menjadi jaringan hubungan yang lebih baik dan berkesan kepada penduduk di negeri ini. Sudah jelas ia memberi faedah yang besar untuk Sarawak," katanya.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu membabitkan laluan sepanjang 75 kilometer yang juga sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,089 kilometer.

Melalui pakej ini, laluan sedia ada akan dinaik taraf dari dua lorong kepada empat lorong, termasuk pembinaan tiga persimpangan bertingkat di Serian dan Simunjan.

Pembinaan laluan ini juga akan membabitkan 10 jambatan, 84 hentian bas, lapan jejantas dan satu kawasan hentian di Balai Ringin.