LIPIS: Kemeriahan jelas terasa apabila 10 pasangan Orang Asli Islam di daerah ini selamat diijabkabulkan sempena Majlis Walimatul Urus Saudara Baharu Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) di Pos Betau, Ulu Jelai, dekat sini, pada Khamis.

Pasangan "raja sehari" berusia 18 tahun hingga 40 tahun itu terdiri daripada penduduk Orang Asli etnik Semai dari Kampung Orang Asli (KOA) Betau, KOA Temetong, KOA Sungai Padi dan KOA Pantos daerah ini.

Majlis turut diserikan dengan upacara perkahwinan adat orang Melayu seperti diarak dengan bunga manggar, bersanding di pentas, makan beradab, serta diwarnai dengan pakaian sedondon oleh pasangan terlibat.


Sepuluh pasangan saudara baharu Orang Asli etnik Semai selamat bergelar raja sehari pada majlis Walimatul Urus Saudara Baharu Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) di Pos Betau, Lipis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd Fadzli Mat Saman antara tetamu utama yang hadir turut menyaksikan acara akad nikah yang dikendalikan oleh dua orang wali hakim, iaitu Timbalan Kadi Lipis, Wan Mohd Azrul Wan Adnan dan Penolong Pendaftar Nikah Ulu Jelai, Mokhtar Mat Taha.

Terdahulu, sebelum majlis akad nikah, Mohd Fadzli menyampaikan tazkirah mengenai perkahwinan daripada perspektif Islam termasuk adab hubungan suami isteri, adab hubungan dengan ibu bapa dan keluarga kedua belah pihak pasangan, nafkah pasangan, keharmonian rumah tangga, dan panduan lafaz taklik.

Pengantin lelaki dari Pos Betau, Anuar Bah Jat, 31, berkata dia bersyukur dapat menjejakkan kaki ke jenjang pelamin dengan pasangannya Roslin Lawat, 27, iaitu rakan sekampung yang sudah dikenali lebih lima tahun.

"Sebelum ini, kami sudah lebih dua tahun melafazkan kalimah syahadat dan mendalami hal ehwal Islam menerusi bimbingan petugas Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) yang berkhidmat di kampung ini.

"Saya berasa lega kerana sudah selesai diijabkabulkan dan kini akan mencongak kebahagian rumah tangga, memperoleh zuriat kami dan paling utama iaitu mendalami Islam untuk menjadi insan yang soleh di dunia dan akhirat," ujarnya.

Sementara itu Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis yang juga penyelaras program, Muhammad Syafiq Abdul Aziz berkata, program walimatul urus pasangan saudara baharu Orang Asli diadakan setiap tahun antara usaha Muip Cawangan Lipis untuk meringankan belanja pengurusan menerusi majlis perkahwinan beramai-ramai.

"Apa yang lebih penting, usaha dakwah kita untuk mengajak penduduk Orang Asli mendekati Islam antaranya dengan mendedahkan majlis akad nikah dan perkahwinan secara teratur, mudah dan sempurna menurut Islam.

"Majlis kenduri-kendara dan atur cara mengikut adat orang Melayu turut dibiayai serta diadakan secara bergotong-royng oleh kakitangan MUIP cawangan Lipis, Pejabat Kadi, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan PePIMA daerah ini," katanya.