KUALA LUMPUR : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerima sebanyak 100,000 kit ujian antigen COVID-19 yang akan diagihkan ke seluruh negeri berkenaan untuk tujuan saringan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Bukit Pelangi pada Isnin, Tunku Ismail berkata, kit ujian berkenaan dapat digunakan bagi meningkatkan kapasiti saringan bagi pengesanan COVID-19 yang lebih efektif.

"Kit ujian kendiri ini akan membantu dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19 dan mengenal pasti tempat-tempat hotspot.

"Kita perlu meningkatkan lagi, 'Test, Trace and Vaccinate' jika imuniti kelompok ingin dicapai secepat mungkin," katanya dalam kenyataan tersebut.

BACA: "Beri keutamaan proses vaksinasi seluruh daerah Johor" - TMJ

Sebelum ini, Tunku Ismail mengarahkan agar program vaksinasi di semua daerah di negeri itu diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin.

Tunku Ismail turut menasihati agar proses logistik pengedaran vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipercepatkan dan supaya bekalan vaksin di PPV sentiasa mencukupi.

Hari ini, Johor merekodkan 1,449 kes baharu COVID-19. Ini menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 85,707 setakat ini.