KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar program vaksinasi di semua daerah di negeri itu diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Bukit Pelangi, baginda turut menasihati agar proses logistik pengedaran vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipercepatkan dan supaya bekalan vaksin di PPV sentiasa mencukupi.

Titah baginda, bilangan lokasi PPV dan pegawai-pegawai perubatan juga patut ditambah bagi meliputi seluruh negeri Johor.

"Sukacita ingin saya maklumkan bahawa sebanyak 83 peratus Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin.

"Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin.

"Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula," memetik kenyataan tersebut.

Baginda sebelum itu melawat Pusat Simpanan Vaksin di Hospital Permai, Johor Bahru dan menyaksikan penerimaan bekalan vaksin Pfizer yang akan diedarkan ke PPV dalam masa terdekat.

Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah memberi kerjasama untuk mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor.

Baginda turut menzahirkan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka dalam menyelamatkan nyawa rakyat.

 
Sumber Facebook hrhcrownprinceofjohor

Sebelum ini, Tunku Ismail bertitah, Johor bakal menerima 1.293 juta dos vaksin bulan ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut baginda, daripada jumlah itu 583,000 merupakan vaksin Pfizer, 637,000 Sinovac dan baki 73,000 AstraZeneca.

Baginda turut bertitah pada minggu pertama Julai sebanyak 51,100 dos vaksin akan diterima diikuti minggu kedua dengan 178,540 dos.

BACA: Johor bakal terima 1.293 juta dos vaksin bulan ini - TMJ