KUCHING: Seramai 101 kru pelantar minyak Velesto Naga 7 yang tenggelam semalam dibenarkan masuk ke Offshore Transit Centre (OTC) di Miri.

Pejabat Residen Bahagian Miri dalam surat yang bertarikh 3 Mei memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri tidak menghalang kesemua krew untuk masuk ke pusat transit itu.

Ia sebagai respons segera Pejabat Residen Bahagian Miri kepada permohonan yang dikemukakan Ketua Operasi Berkat OSH Services Sdn Bhd, Dr Mohd Khairul Azman Mohd Idros atas kecemasan yang dihadapi.

Menerusi surat yang ditandatangani, Pemangku Residen Bahagian Miri, Melissa Labut bagaimanapun menetapkan agar setiap kru yang masuk perlu dipasang gelang tangan dan diberikan surat arahan kuarantin wajib oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pelabuhan Miri.

BACA: Pelantar minyak Velesto 'Naga 7' tenggelam, 101 krew selamat

Malah syarikat perlu menyediakan kenderaan khas untuk kru dari pelabuhan dan mereka wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di OTC yang ditentukan berikutan kekangan bilik di pusat kuarantin.

Ujian calitan RT-PCR COVID-19 akan dilakukan pada hari kedua dan ke-10 dengan pihak perubatan swasta selain kos akan ditanggung oleh syarikat.

Pada Isnin lalu, sebuah pelantar minyak laut dalam milik Velesto, Naga 7 berdekatan perairan Sabah dan Brunei dilaporkan tenggelam susulan kerosakan pada salah satu kaki sokongan pelantar itu.

Kesan daripada kerosakan pada kaki sokongan pelantar itu, pada awalnya ia mengakibatkan pelantar menyenget 10 peratus daripada posisi awal.

Kesemua 101 anak kapal Naga 7 berjaya diselamatkan melalui operasi penyelamatan oleh kapal Perdana Marathon dan Armada Tuah.