PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima sebarang laporan berhubung kesan sampingan dos penggalak kedua vaksin COVID-19.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, setakat 20 Jun seramai 107,844 orang telah menerima dos penggalak kedua itu di seluruh negara.

"Untuk dos penggalak kedua setakat ini secara keseluruhan 107,844 orang di Malaysia telah menerima dos penggalak kedua, daripada jumlah itu 57,834 orang adalah mereka berusia 60 tahun ke atas.

"Dikategorikan warga emas setakat semalam, kita akan terus menggalakkan warga emas terutamanya dan mereka yang mempunyai penyakit kronik mendapatkan dos penggalak kedua.

"Setakat ini kita tidak dapat laporan kesan sampingan dos penggalak kedua, dan ia amat digalakkan terutama mereka berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Selasa.

Mengulas lanjut jelas Khairy, meskipun kes COVID-19 di seluruh negara terkawal ketika ini, namun peringatan akan terus diberikan KKM agar masyarakat sentiasa bersedia menghadapi gelombang baharu.

"Walaupun kes COVID-19 terkawal tapi sepertimana saya maklumkan berkali-kali, kes ini akan pasang surut.

"Mungkin dalam dua tiga bulan lagi, kita akan mengalami gelombang baharu sejauh mana gelombang itu, kita tidak pasti," katanya lagi.