KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah menerima 108 laporan polis dalam tempoh seminggu bermula 31 Mac lepas sehingga semalam, membabitkan jumlah kerugian RM662,903.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata daripada jumlah itu, 20 kertas siasatan telah dibuka dengan empat daripadanya membabitkan penipuan pembelian barang kemas secara dalam talian dengan jumlah kerugian RM126,017.

"Mangsa pertama ialah seorang peniaga wanita berusia 29 tahun yang berminat membeli dua utas gelang emas di aplikasi TikTok berharga RM512 namun telah diperdaya sehingga mangsa melakukan 20 kali transaksi secara dalam talian untuk pelbagai alasan sehingga rugi sebanyak RM106,012.

"Kes seterusnya ialah seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta. Mangsa telah melayari Telegram dan berminat dengan iklan menawarkan penjualan barang kemas berupa dua utas gelang berharga RM3,000. Namun, mangsa telah diperdaya sehingga mengalami kerugian berjumlah RM8,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli berkata dua lagi kes turut menggunakan modus operandi sama iaitu mangsa melihat iklan jualan emas di TikTok dan kemudiannya dikehendaki menekan pautan sebelum disambung ke sebuah kumpulan 'Jualan Emas Ar Rahnu' di Telegram.

Katanya, mangsa pada awalnya dikehendaki membuat bayaran terhadap pembelian emas dengan tawaran yang murah.

"Bagaimanapun, selepas bayaran tersebut dibuat, mangsa diarahkan untuk membuat beberapa lagi transaksi atas pelbagai alasan termasuk cukai, bayaran yuran, bayaran surat cagaran, bayaran wang jaminan yang mana kesemua alasan tersebut tidak munasabah untuk sesuatu pembelian," katanya.

Keseluruhannya, Mazli berkata JSJK IPK Terengganu telah menerima 1,338 laporan penipuan komersial bermula Januari hingga Mac tahun ini dengan 267 kertas siasatan.

Jumlah itu katanya menurun berbanding 1,469 laporan pada tempoh sama tahun lepas.

"Polis mengingatkan orang ramai berhati-hati sekiranya menerima sebarang tawaran jualan murah dari media sosial. Sila buat semakan terhadap nombor akaun dan nombor telefon melalui portal rasmi Semak Mule, selain semak kewujudan pemilik syarikat perniagaan di SSM MyData sebelum melakukan sebarang pembayaran.

"Sekiranya ada mangsa yang terpedaya dengan modus operandi sedemikian, sila buat laporan polis di balai polis terdekat," katanya.

-- BERNAMA