KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 11 Mei untuk keputusan permohonan semakan kehakiman oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar penukaran agama Islam secara unilateral (sepihak) tiga anaknya oleh bekas suami wanita itu, tanpa persetujuan Loh.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan melalui Zoom daripada pihak-pihak terlibat.

Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh, berhujah bahawa tidak ada pertikaian oleh responden bahawa kanak-kanak itu - yang kesemuanya di bawah umur - telah didaftarkan sebagai Muslim tanpa kebenaran wanita tersebut.

Beliau berkata memandangkan fakta ini dibangkitkan, satu-satunya isu di hadapan mahkamah itu adalah mengenai status sah penukaran agama tersebut.

Peguam itu memetik kes Indira Gandhi lwn pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak apabila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara unilateral adalah tidak sah.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang negeri Perlis Mohd Radhi Abas berhujah tafsiran yang betul mengenai perkataan "ibu bapa" dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bermaksud sama ada ibu atau bapa.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Beliau berkata terdapat 13 peruntukan dalam Perlembagaan iaitu perkataan parent atau parents telah digunakan dan perkataan itu mesti dibezakan.

"Parlimen berhati-berhati menggunakan perkataan parent dalam bentuk singular atau parents dalam bentuk jamak dalam Perlembagaan. Perlembagaan itu diluluskan oleh Parlimen dan mengulangi kata-kata (bekas Ketua Hakim Negara) Allahyarham Tun Abdul Hamid Omar, mahkamah bukanlah Parlimen," katanya.

Beliau seterusnya menegaskan perbezaan antara perkataan parent dan parents tidak dibincangkan dalam kes Indira Gandhi pada 2018.

"Di bawah pengasingan kuasa, hak untuk menggubal undang-undang terletak pada Parlimen. Dengan penghormatan tertinggi, mahkamah perlu mengambilnya seperti sedia ada," katanya.

Pada 1 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Loh bagi mencabar tindakan bekas suaminya, M. Nagahswaran yang mendaftarkan tiga anak mereka sebagai Muslim tanpa kebenarannya.

Ketiga-tiga anaknya, yang ketika itu berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

-- BERNAMA