MALAYSIA
118 khemah baharu dipasang ganti khemah roboh di Bazar Deepavali Brickfields

Dr Zaliha berkata, berlaku salah faham berhubung isu pemberian khemah kepada para peniaga, namun ia sudah diselesaikan dengan penggantian khemah yang lebih besar dan kukuh. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 118 khemah baharu dipasang bermula malam tadi sempena penganjuran Bazar Deepavali di Brickfields bagi menggantikan khemah yang roboh akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, berlaku salah faham berhubung isu pemberian khemah kepada para peniaga, namun ia sudah diselesaikan dengan penggantian khemah yang lebih besar dan kukuh.
"Jumlahnya tetap sama, tiada penambahan lagi. Khemah yang roboh bersaiz 8x8 kaki tetapi kami minta supaya digantikan dengan khemah bersaiz 10x10 kaki," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi sesi 2025-2028, di sini, malam tadi.Mengulas dakwaan terdapat peniaga yang tidak berpuas hati dengan sistem cabutan undian bagi tapak bazar, Dr Zaliha berkata, ia dilaksanakan secara lebih telus.
"Kami laksanakan sebaik mungkin untuk kekalkan pemberian itu seperti yang telah dilaksanakan pada Bazaar Ramadan dan juga Aidilfitri tetapi mungkin ada sedikit pengubahsuaian untuk memastikan mereka yang berminat ataupun ada niat untuk berniaga itu diberikan keselesaan," katanya.
Semalam, peniaga di bazar itu mengkritik khemah sedia ada yang didakwa terlalu kecil, tidak berkualiti dan perlu diganti dengan saiz lebih besar.
Perkara itu turut mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan yang menyifatkan khemah berkenaan sebagai tidak kukuh dan tidak sesuai ditempatkan di jalan utama yang terkenal dengan kesesakan trafik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami