MERLIMAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat ini selepas meninjau beberapa pusat mengundi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan di tiga pusat mengundi yang dikunjungi, proses pengundian berlangsung lancar tanpa sebarang gangguan ketara.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi, khususnya masyarakat Melayu, supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi menentukan masa depan negeri dan negara.
“Alhamdulillah, syukur. Setakat ini saya baru berada di tiga pusat pengundian dan ketiga-tiganya proses pengundian berjalan dengan lancar.
“Saya mohon semua orang Melayu keluar beramai-ramai mengundi dan menjalankan tanggungjawab kita kerana ini bukan sekadar memilih, tetapi memilih untuk masa depan Negeri Melaka dan negara,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian, di Sekolah Kebangsaan Merlimau pada Sabtu.
Mengulas penerimaan pengundi sepanjang tempoh kempen selama dua minggu, Rahayu berkata sokongan dan pengenalan masyarakat terhadap dirinya semakin meningkat menerusi pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka.
Katanya, kempen yang dijalankan juga berlangsung dalam suasana sihat tanpa memburukkan pihak lawan.
Beliau turut menyifatkan sebarang provokasi kecil sepanjang tempoh berkempen tidak wajar diperbesarkan sehingga menjejaskan hubungan sesama masyarakat.
“Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca permusuhan, memandangkan mereka tetap akan bertemu dan hidup dalam komuniti yang sama selepas pilihan raya,”kataya.
PRN Melaka kali ini persaingan satu lawan satu Rahayu berdepan dengan penyandang DUN Merlimau Datuk Dr. Akmal Salleh.
DUN Merlimau mempunyai seramai 19,759 pemilih berdaftar dengan 35 saluran mengundi dibuka bagi proses pengundian hari ini.