IPOH: Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti 12 bekas lombong di daerah Kinta dan Kampar untuk digunakan di bawah Program Perikanan Bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, program itu antara lain bertujuan meningkatkan sosioekonomi nelayan darat.

Menurutnya, 12 bekas lombong itu yang berkeluasan 112 hektar dijangka dapat menghasilkan 150 metrik tan ikan dengan nilai RM1.2 juta setahun.

“Di samping itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan seluas 420 hektar yang melibatkan 20 lot ternakan kerang di bawah Program Kebun Kerang Lekir yang dijangka dapat menghasilkan 3,500 metrik tan kerang dewasa dengan anggaran nilai RM30 juta setahun,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, Perak merupakan pengeluar terbesar hasil tangkapan ikan di Malaysia dengan sumbangan melebihi 20 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara dengan nilai dagangan sebanyak RM2.5 billion setahun.

Katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti akuakultur dengan mengambil pelbagai langkah.

Menurutnya, bagi akuakultur ternakan ikan yang melibatkan sistem kolam, tangki, bekas lombong, sangkar di sungai, laut ataupun tasik, kerajaan menggalakkan pengusaha ternakan supaya mendaftar dengan Jabatan Perikanan dan mendapatkan kelulusan sebelum mengusahakan sebarang aktiviti ternakan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri di peringkat akhir mewartakan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) negeri Perak bagi memberi kuasa pemantauan dan penguatkuasaan pelesenan.

Menurutnya, satu jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat negeri dengan melibatkan agensi- agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Jabatan Perikanan Negeri Perak dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak.

“Jawatankuasa ini bertujuan mengkaji dan mewartakan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Negeri Perak supaya aktiviti akuakultur ini dapat berjalan dengan berkesan dan sistematik,” ujarnya.

Razman berkata, keerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan sentiasa membuka ruang dan peluang untuk mana-mana syarikat mahupun individu untuk melabur dan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan-kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang telah diwartakan iaitu ZIA Tasik Temengor, ZIA Tasik Kenering dan ZIA Sungai Dala.

Bagaimanapun, ujarnya, sehingga kini hanya ZIA Tasik Temenggor yang diusahakan dengan aktiviti penternakan ikan dalam sangkar oleh peserta projek terdiri daripada anak tempatan dan sebuah syarikat komersil.