JOHOR BAHRU: Dua belas lokasi 'hotspot' sampah telah dikenal pasti menjadi punca pencemaran Sungai Skudai, di sini sehingga kini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K. Raven Kumar.

Beliau berkata antara lokasi tersebut di Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu serta Kampung Bakar Batu.

Katanya turut dikenal pasti ialah di Pusat Informasi Sungai Skudai, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Melana Indah (Sungai Melana), Taman Damai Jaya (Sungai Melana), Kampung Laut, Kampung Pertanian dan Kampung Separa, serta Kampung Melayu Sengkang.

"Bila kita tubuhkan Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai bagi menangani isu pencemaran sungai di negeri ini, kita kenal pasti tempat 'hotspot' sampah ini dulu, selepas itu inilah (usaha pembersihan) yang kita lakukan.

"Bila kita dapat data, ternyata kutipan sampah (di Sungai Skudai) tidak berkurangan dalam tempoh tiga tahun. Kita kenal pasti kawasan punca, jadi ini (Kampung Pasir) antara tempat punca sebelum sampah mengalir ke sungai," katanya kepada pemberita selepas program Johor Bersih Sungai Skudai di Rumah Pam Kampung Pasir, di sini hari ini.

Raven Kumar berkata pihaknya tidak mahu menunding jari atau menyalahkan sesiapa termasuk penduduk, namun kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan perlu diterapkan bagi mengelakkan pencemaran terus berlaku.

"Macam Kampung Pasir ini merupakan satu-satunya kampung yang berada di tengah Johor Bahru dan kita lihat (jumlah) sampah yang berada di sini (di kawasan parit) agak tinggi. Kita ada kontraktor yang bersihkan sampah setiap hari tetapi tidak juga berkurangan, jadi kesedaran itu penting," katanya.

Pada Februari lepas, Raven Kumar dipetik sebagai berkata kira-kira 160 tan sampah sarap dikutip setiap bulan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai, walaupun pembersihan dilakukan dengan menggunakan bot Scavenger di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata ini ekoran kedua-dua sungai tersebut sering menjadi sasaran lokasi pembuangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA