PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 12 saksi bagi membantu siasatan berhubung projek kerjasama strategik semikonduktor bernilai RM1.11 bilion antara Kerajaan Malaysia dan Arm Ltd. dari United Kingdom (UK) yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri Kabinet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata antara yang dipanggil termasuk bekas menteri serta pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan beberapa agensi lain yang berkaitan.
Advertisement
Beliau menjelaskan siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima SPRM, dengan tumpuan terhadap kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa, penipuan serta isu tadbir urus dalam pelaksanaan projek berkenaan.
"Dokumen-dokumen penting telah diperoleh daripada agensi dan kementerian berkaitan, termasuk kertas pembentangan kepada Kabinet berhubung perkara ini. Saksi-saksi lain juga sedang dipanggil bagi membantu siasatan.
"Ada yang (dipanggil) melibatkan bekas menteri dan juga pegawai-pegawai kanan daripada kementerian berkenaan seperti Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian dan lain-lain.
"Bagaimanapun, saya tidak mahu menyatakan butiran lanjut di sini. Terdapat juga bekas menteri yang telah dipanggil untuk memberi keterangan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan SPRM sedang mengesan seorang saksi, iaitu James Chai, yang dipercayai bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi memintanya kembali ke negara ini.
Jelasnya, satu makluman media telah dikeluarkan supaya individu berkenaan segera pulang ke Malaysia untuk dirakam percakapan.
"Setakat ini, beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas. Pada hari ini, satu kenyataan media telah dikeluarkan meminta beliau pulang dari UK bagi membantu siasatan," tegasnya.
Dalam masa sama, Azam berkata SPRM tidak akan membenarkan mana-mana pihak memanipulasi isu berkenaan, dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara adil dan professional.
SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Susulan itu, Rafizi memaklumkan sedia berdepan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi.