Sejumlah 121 jemaah Malaysia yang terkandas di Madinah sejak tujuh hari lepas setelah menunaikan umrah akan dibawa pulang menerusi penerbangan dari Jeddah malam esok dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin ini.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata selepas mendapat maklumat lengkap pihaknya dengan kerjasama Konsulat Jeneral di Makkah telah menguruskan pembelian tiket penerbangan semua jemaah yang terkandas itu menerusi syarikat penerbangan Flynas.

Beliau berkata biro itu mendapat maklumat daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Makkah memaklumkan 268 jemaah dari Malaysia yang menunaikan umrah pada 21 Mei menerusi sebuah agensi pelancongan tempatan dan sepatutnya pulang 1 Jun lepas terkandas.

"Bagaimanapun sehingga semalam, masih terdapat 121 orang yang kebanyakannya dari Perak dan Pulau Pinang masih terkandas, 10 orang telah pulang pada 4 Jun lepas, manakala 137 orang berlepas dari Jeddah semalam dan tiba di KLIA2 pukul 10 pagi tadi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata kumpulan jemaah yang terkandas itu akan dibawa menaiki bas dari Madinah ke Jeddah pukul 10 pagi esok dan menaiki penerbangan pulang ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu tempatan.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah hubungi saya dan mengarahkan supaya Biro Kebajikan UMNO menguruskan segera untuk membawa pulang 121 rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

"Jadi saya terus hubungi Flynas untuk membantu kita membawa pulang jemaah di sana menerusi peruntukan yang disediakan oleh Biro Kebajikan UMNO," katanya.

Abdul Azeez berkata anggota keluarga jemaah yang terkandas di Madinah tidak perlu risau kerana mereka berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang segera.

Katanya siasatan awal mendapati agensi yang membawa jemaah berkenaan dengan menawarkan pakej umrah berharga RM3,999 hanya membeli tiket penerbangan pergi tanpa menempah tiket untuk penerbangan pulang.

Beliau telah menghubungi wakil syarikat dan pejabat agensi pelancongan berkenaan bagaimanapun tidak berjawab.

"Agensi yang berpejabat di Perak itu tidak menempah tiket pulang dan wakilnya yang bersama jemaah di Makkah telah pulang lebih awal serta meninggalkan mereka di sana tanpa sebarang maklumat.

"Saya juga difahamkan ada jemaah yang terkandas itu sakit, ada yang dibuang kerja kerana telah tujuh hari mereka tidak balik, ini satu perkara yang menyedihkan," katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji menasihati orang ramai yang ingin menunaikan umrah supaya menyemak terlebih dahulu agensi pelancongan sama ada ia berdaftar dengan Tabung Haji atau tidak.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan agensi yang menawarkan pakej murah yang harganya di bawah RM4,000.

"Saya sudah cakap banyak kali, sekarang ini memang tidak ada lagi pakej yang boleh ditawarkan dengan harga bawah RM4,000 kerana tiket penerbangan sehala sahaja sudah mencecah RM1,800, jadi mereka yang hendak pergi menunaikan umrah perlu berhati-hati.

"Lagipun kejadian seperti ini (jemaah terkandas) bukan pertama kali berlaku dan kalau tidak salah saya dalam tahun ini sahaja sudah hampir empat kali berlaku," katanya.