KUALA LUMPUR: Sejumlah 132,404 permohonan melalui portal Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah diterima daripada rakyat Malaysia untuk menyertai program berkenaan setakat 21 Nov, 2023, kata Kementerian Ekonomi hari ini.

Kementerian tersebut berkata setelah disaring, sejumlah 49,687 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif yang meliputi 21,944 pemohon di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 13,192 di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 14,551 pemohon di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Di bawah INTAN, sejumlah 1,020 peserta telah diluluskan pelaksanaan program di 15 lokasi berkeluasan 818 ekar dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM92.6 juta, kata Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Menerusi inisiatif INSAN, sejumlah 100 peserta di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan program rintis dan berjaya meraih purata jualan harian di antara RM90 hingga RM400.

Sementara itu,sejumlah 1,032 peserta telah diluluskan pelaksanaan program inisiatif IKHSAN dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM14.2 juta.

"Selain itu, pendekatan membasmi kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan program secara bersasar sama ada secara individu, komuniti atau hibrid juga turut diteruskan berdasarkan profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dipilih di seluruh negara," kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian berkenaan berkata sehingga kini, sejumlah 1,922 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah diluluskan projek dengan peruntukan sebanyak RM24.8 juta bagi pelaksanaan pendekatan ini khususnya di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi berkata ia juga melaksanakan program peningkatan kapasiti dan modal insan serta kursus pengurusan asas kewangan dan book keeping kepada peserta-peserta IPR dengan kerjasama strategik universiti-universiti awam.

-- BERNAMA