138 hamba abdi moden termasuk 57 kanak-kanak diselamatkan PDRM, 67 individu ditahan

M Kumar, berkata mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 58 lelaki dan 23 wanita, manakala selebihnya membabitkan 39 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan berusia 12 hingga 17 tahun. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Seramai 138 mangsa termasuk 57 kanak-kanak, yang dipercayai dijadikan sebagai hamba abdi moden dengan dipaksa bekerja di pelbagai sektor, diselamatkan menerusi Op Pintas Khas Pembanterasan Pemerdagangan Orang yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, berkata mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 58 lelaki dan 23 wanita, manakala selebihnya membabitkan 39 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan berusia 12 hingga 17 tahun.
"Turut diselamatkan seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu," katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis.
Menurut Kumar, mangsa membabitkan pelbagai warganegara termasuk masing-masing lapan warga tempatan dan Filipina, selain 34 warga Indonesia, 13 warga Bangladesh serta 75 warga Myanmar.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan dan risikan, mangsa dipercayai dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam beberapa sektor utama antaranya perladangan kelapa sawit, pembuatan sarung tangan getah serta sektor-sektor lain.
Operasi yang dijalankan secara serentak di 14 kontinjen polis seluruh negara itu membabitkan 77 serbuan merangkumi 12 lokasi sektor perkilangan, 19 sektor perladangan, 41 sektor perkhidmatan dan perniagaan serta lima lokasi sektor lain.
"Kita mendapati mangsa terdedah kepada pelbagai indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang, termasuk eksploitasi kerentanan, perdayaan, kawalan pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, kondisi kerja serta tempat tinggal yang terabai dan kerja lebih masa melampau," katanya.
Dalam operasi sama, Kumar berkata, 67 individu yang disyaki majikan dan penyelia kepada mangsa turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Mereka terdiri daripada 57 lelaki dan 10 wanita berusia antara 30 hingga 69 tahun, dengan 42 warga tempatan dan 25 warga asing," katanya.
Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, serbuan dilaksanakan berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
"Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan jenayah pemerdagangan orang, dan tindakan tegas akan diambil," tegasnya.
Serbuan itu dilakukan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah bersama Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO) Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


