GEORGE TOWN: Empat belas individu termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang sekitar 2016 hingga 2021.

A. Santeran, 55; Mohd Azlisham Che Azmi, 38; C. Maria Prakit, 48; S. Boharaj, 29; Muhamad Fithri Mohamed Shafe, 41; Marzuki Osman, 42; Milon Masud; 30; K. Subramaniam, 49; A. Balasubramaniam, 61; Rosman Mohd Ismail, 49; S. Puspakaran, 45; A. Raymond, 51; Noor Wadia Aziz, 39; dan Mohd Fitri Odus, 39; dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Chandra dalam tempoh tersebut.

Kesemua mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding tersebut.

Pengakuan hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi. kerana tuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Chandra' antara Januari 2016 dan 12 Mac 2021 di daerah Timur Laut di sini dan didakwa di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah sub seksyen sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Prosiding dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fakhrurazi Ahmad Salim, Saifuddin Rafaie dan Rohaiza Abdul Rahim, sementara hanya tujuh tertuduh diwakili peguam.

Mohd Fitri diwakili peguam Khairul Fairuz Rahman manakala Santeran, Maria Prakit, Balasubramaniam, Subramaniam, Boharaj dan Raymond diwakili peguam Ahmad Abdullah.

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin, meskipun peguam yang mewakili tertuduh memohon jaminan untuk anak guam masing-masing dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan.

Sebelum ini, 11 penjenayah termasuk seorang warga emas ditahan, selepas dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang di negeri ini pada 24 Mei lepas.

Susulan penahanan ahli kumpulan itu, polis merampas sebutir bom tangan yang masih aktif, enam senjata api dan 185 butir peluru hidup.

Menurut sumber polis, seorang daripada penjenayah tersebut pula ditahan pada Mac tahun lepas manakala dua lagi pada November tahun lepas.

Kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, jenayah dan pemilikan senjata api.

Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini dalam Op Cantas Tanjung III oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dengan bantuan Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

-- BERNAMA