MALAYSIA
14 minit tanpa degupan, kanak-kanak mangsa tukul terus bertarung nyawa

Tiada apa lagi mampu dilakukan seorang bapa selain berdoa apabila jantung anak kecilnya berhenti berdegup 14 minit sebelum berdegup kembali selepas usaha dijalankan pasukan perubatan. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Tiada apa lagi mampu dilakukan seorang bapa selain berdoa apabila jantung anak kecilnya berhenti berdegup 14 minit sebelum berdegup kembali selepas usaha dijalankan pasukan perubatan.
Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, yang mengalami kecederaan parah pada kepala akibat dipukul dengan tukul, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) selepas enam hari bertarung nyawa.
Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, berkata dia hanya mampu menunggu di wad dan berdoa ketika dimaklumkan doktor bahawa jantung Ammar tiba-tiba terhenti pada kira-kira 9.30 pagi tadi.
"Setakat ini doktor masih berusaha menyelamatkan Ammar. Saya hanya mampu menunggu dan terus berdoa," katanya kepada Bernama hari ini.Beliau turut merayu orang ramai agar sama-sama berdoa serta mendirikan solat hajat memohon kesembuhan Ammar.
Sementara itu, ibu mangsa, Nur Ayuni Mohd Kamaruzaman, 29, berkata dia tergamam apabila menerima panggilan daripada pihak hospital mengenai keadaan anaknya itu.
"Saya tergamam apabila menerima panggilan dari pihak hospital mengenai situasi anak saya," katanya.
Pada Khamis lepas, seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul sehingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat, ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi, Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan mati tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari rumah kedai berkenaan.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara kanak-kanak itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami