KOTA TINGGI: Seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia berjaya diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba memasuki negara ini melalui perairan Johor Timur pada awal pagi semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan itu dibuat sejurus Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) menerusi Area Control Centre (ACC) Johor mengesan dua vesel yang disyaki kontak curiga di kawasan berkenaan.

“ACC Johor telah mengesan dua vesel kontak curiga itu sedang bergerak dengan kelajuan 30 knots dari perairan Indonesia menuju masuk ke Teluk Punggai, Johor sekitar jam 1.20 pagi semalam,

“Berikutan itu, ACC Johor terus menyalurkan maklumat pengesanan kepada aset Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mengesan dan memintas kedua-dua kontak curiga itu.

“Markas Taktikal Tanjung Sepang juga turut mengesan kedudukan kontak curiga, seterusnya berjaya menahan sembilan PATI warga Indonesia pada jam 4.00 pagi.

“Sekitar jam 9.30 pagi pula, seramai lima PATI warga Indonesia daripada kontak curiga yang sama telah dikesan dan ditahan.” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Kesemua 14 PATI yang ditahan berumur antara 20 hingga 45 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk tindakan dan siasatan lanjut.