MANJUNG: Sebanyak 14 premis menjual loteri awam secara haram dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik menerusi Op Dadu di sekitar Ayer Tawar, Sitiawan dan Lumut sejak 26 Jan hingga 11 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata kegiatan berkenaan yang berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit dan aksesori telefon menyasarkan pelanggan tempatan dengan nilai kutipan harian mencecah ribuan ringgit.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan daripada keseluruhan 14 premis, sembilan adalah di Ayer Tawar, empat di Sitiawan dan satu di Lumut.

"Sepanjang Januari lepas, kita telah membuat 73 serbuan di daerah ini dengan 21 premis didakwa di mahkamah manakala selebihnya masih dalam siasatan polis," katanya kepada pemberita selepas serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Ayer Tawar dekat sini hari ini.

Menurut Nor Omar, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata terdapat premis yang pernah diserbu lebih daripada sekali namun masih degil meneruskan kegiatan itu secara bersembunyi.

Katanya tahun lepas, pihaknya telah membuka 352 kertas siasatan berkaitan kegiatan perjudian dengan 259 kes telah didakwa di mahkamah.

"Sepanjang tahun lepas, 19 premis di sekitar Manjung dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ini dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian," katanya.

-- BERNAMA