MACHANG: Seramai 142 prospek dari Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang dekat sini dibebaskan secara berlesen pada Ahad.

Pembebasan itu dilakukan menerusi Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) Sempena Hari Raya Aidilfitri 2024 Ihsan Madani 'Kepulangan Yang Dinanti'.

Pengarah PPA Machang, Mohd Nasir Yusof berkata, program OBB itu membuka peluang kepada prospek terpilih untuk kembali merapatkan hubungan dengan keluarga termasuklah masyarakat.

"Menerusi program ini seramai 66 prospek akan bersama dengan majikan manakala selebihnya berada di Rumah Perantaraan (RP).

"Pada masa sama, program ini turut memberi peluang kepada prospek untuk mencari pekerjaan melalui kemahiran yang sudah dipelajari sepanjang berada di dalam penjara," katanya kepada pemberita selepas Program Pelepasan OBB di PPA Machang.

Menurut beliau, sebanyak 34 syarikat aktif mengambil OBB bekerja bersama mereka dengan menyediakan lebih 390 peluang pekerjaan.

Ujarnya, sepanjang tahun lalu, PPA Machang mengeluarkan seramai 1,000 prospek untuk menjalani program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di luar tembok penjara dan ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan di antaranya sektor perladangan getah dan kelapa sawit.

Mohd Nasir memberitahu, melalui pendekatan itu prospek boleh membuat perancangan masa depan dengan adanya punca pendapatan.

"Selain OBB, majikan turut mendapat manfaat sekiranya mereka menggajikan prosek antaranya menerusi pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pada masa sama, majikan turut diberikan insentif daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM 1,500 sebulan untuk tempoh enam bulan di bawah Skim Sokongan Pekerjaan bergantung kepada keperluan dan syarat yang ditetapkan oleh agensi yang terbabit.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, sebuah lagi RP akan dibuka dalam jangka masa terdekat di Machang.

Menurut beliau, pembukaan itu merupakan RP ketiga selepas Pengkalan Chepa dan Bachok di negeri ini.

"Perbincangan sudah dilakukan bersama Ketua Jajahan Machang dan menunggu keputusan bagi membolehkan RP di Machang beroperasi. RP ini akan menempatkan prospek menjalani baki hukuman di luar penjara dengan pemantauan dan seliaan Pegawai Parol Daerah.

"Ia lengkap dengan kemudahan asas termasuk makan dan minum kepada prospek yang baharu bebas dari penjara dan tiada tempat untuk tinggal kerana tiada keluarga atau keluarga enggan untuk menerima mereka kembali atau mereka yang secara sukarela untuk tinggal di situ," katanya. -Sinar Harian