MALAYSIA
15 jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar bernilai RM150,000 dirampas di Melaka

Dr Ruzita berkata rampasan dilakukan menerusi Op Pet yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Bahagian Perkhidmatan Farmasi negeri, di sebuah gudang di Malim pada 31 Julai lepas. - JKM Melaka
MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka merampas 15 jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar termasuk ubat veterinar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM), dianggarkan bernilai hampir RM150,000.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ruzita Mustaffa berkata rampasan tersebut dilakukan menerusi Op Pet yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Bahagian Perkhidmatan Farmasi negeri, di sebuah gudang di Malim di sini pada 31 Julai lepas.
Beliau berkata gudang berkenaan dipercayai menjadi tempat penyimpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar tersebut sejak 2023.
"Dalam operasi itu, pelbagai jenis produk farmaseutikal mengandungi racun berjadual termasuk antibiotik, ubat tahan sakit dan pelbagai racun lain yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952 telah berjaya dirampas."Operasi berkenaan dijalankan berdasarkan pemantauan dan risikan serta aduan daripada orang awam dengan kerjasama pegawai dari Ibu pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan melibatkan sebanyak 17 orang anggota penguat kuasa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua produk itu dipercayai dijual secara meluas melalui platform e-dagang serta dalam talian dan siasatan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.
Ruzita berkata tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF Melaka dalam membanteras aktiviti penjualan produk farmaseutikal tidak berdaftar di pasaran bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan orang awam.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membeli ubat atau kosmetik sewenang-wenangnya melalui media sosial atau secara dalam talian.
Beliau berkata mereka juga disarankan menyemak status pendaftaran produk melalui laman web http://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400.
Katanya, sebarang aduan atau maklumat berkenaan ubat atau kosmetik meragukan boleh disalurkan melalui portal SisPAA (http://moh.spab.gov.my) atau cawangan penguatkuasaan farmasi negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami