SHAH ALAM: Seramai 15 pelancong Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak imigresen berikutan menerima vaksin di Malaysia.

Menurut portal The Star pada Ahad, seorang penumpang dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi.

Oleh itu, pihak berkuasa Filipina tidak membenarkan kemasukan 15 penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad manakala pasport mereka turut dirampas dan dimaklumkan akan dihantar pulang pada Selasa ini.

"Bagaimanapun, penumpang yang berada dalam penerbangan dari KLIA tetapi menerima vaksin di Singapura atau United Kingdom dibenarkan akses ke negara itu.

“Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang. Memandangkan tiada hotel tersedia, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai," katanya.

Penumpang itu berkata, pihak imigresen Filipina memberitahu mereka perlu divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Daripada kumpulan pelancong itu, 13 daripadanya adalah warga Malaysia dan dua lagi warganegara asing tiba di Filipina atas urusan perniagaan, peribadi dan kemanusiaan.

Duta Besar Malaysia ke Filipina dilaporkan telah menemui penumpang yang terkandas dan mereka amat bersyukur kerana beliau akan sedaya upaya membantu.

“Kami diberitahu bahawa Kedutaan Malaysia di Filipina telah menghantar rayuan untuk timbal balik vaksinasi pada Khamis lalu namun tiada maklumat terkini daripada Agensi Hal Ehwal Luar Filipina.

“Mereka cuba sedaya upaya untuk berunding dengan imigresen bersama-sama pasukan Malaysia Airlines, tetapi tidak berjaya dan kini semua rakyat Malaysia terkandas,” kata penumpang itu.

Imigresen Filipina juga menegaskan bahawa Kedutaan Malaysia perlu menunggu sehingga pagi Isnin untuk berhubung dengan Kementerian Luar Negeri bagi mendapatkan kelulusan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.