Seramai 15 daripada 1,986 pemandu bas ekspres didapati gagal dalam ujian saringan dadah yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia di seluruh negara setakat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, jumlah itu dikesan sepanjang operasi bas ekspress di 22 terminal bas utama seluruh negara bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Narkotik yang bermula 22 April hingga Rabu lalu.

Beliau berkata, kesemua pemandu yang positif itu telah dikenakan tindakan dan lesen memandu mereka telah digantung.

Ujarnya, kes kemalangan membabitkan pemandu bas berada ditahap membimbangkan, justeru, beliau turut mencadangkan supaya semua pengusaha bas ekspress diseluruh negara membuat ujian saringan dadah keatas semua pemandu bas yang ingin berkhidmat dengan syarikat mereka.

Ini bagi memastikan pekerja yang diambil itu bebas dari penggunaan dadah.

Ismail berkata, biarpun pihak JPJ membuat ujian saringan berkenaan namun adalah lebih baik sekiranya langkah sama diambil pihak pengusaha bagi memastikan insiden kemalangan membabitkan pengangkutan awam itu tidak berulang.

Tambahnya, mengikut rekod JPJ, terdapat 9,000 pemandu bas ekspres yang berdaftar dengan pihaknya dan operasi saringan ujian air kencing ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu bas ekspres bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya turut menjalankan operasi penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan sebanyak 15 kes direkodkan membabitkan 164 buah bas ekspress yang telah dinaiki penguatkuasa JPJ.

Sebanyak 3,345 jumlah kes diperiksa dengan 58 kes dilaporkan sepanjang pemeriksaan bas ekspres di hentian rehat dan rawat (R&R) serta stesen penguatkuasaan sepanjang tempoh yang sama.

Antara kesalahan yang direkodkan ialah 22 kes membabitkan bas ekspres tiada pemandu kedua, tiada buku log (satu kes), tidak selenggaraan buku log (dua kes) dan 34 kes berkaitan kesalahan teknikal.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan hari JPJ 2014 di Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh, hari ini.

Pada 22 April lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, semua pemandu bas ekspres diwajibkan menjalani ujian saringan air kencing oleh pegawai penguat kuasa JPJ dan AADK setiap hari, di terminal-terminal bas di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.

Langkah drastik itu merupakan antara beberapa tindakan dilakukan kementerian pengangkutan dalam usaha mengelakkan kemalangan melibatkan bas ekspres dan persiaran berulang.