SETIU: Sebanyak 158 buah bot nelayan Vietnam berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu sejak tahun 2020 sehingga Jun tahun ini.

Pengarahnya Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata daripada jumlah itu melibatkan seramai 1,599 awak-awak termasuk tekong.

Menurut Muhammad Suffi kesemua bot yang ditahan telah melalui proses perbicaraan dan sebahagiannya dilucutkan hak oleh mahkamah.

Jelas Muhammad Suffi bagi bot-bot yang dilucutkan hak oleh mahkamah akan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan.

"Pelupusan bot sebagai tukun tiruan tahun ini sahaja kita sudah tenggelamkan sebanyak 12 buah bot dan insyaAllah sebanyak 40 buah bot lagi kita akan tenggelamkan pada tahun ini juga sekiranya sempat sebelum musim tengkujuh," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan bagi mengekang kemasukan nelayan Vietam ke perairan Terengganu.

"Di sepanjang kawasan operasi, kita saling berhubung dengan nelayan tempatan dan juga berkongsi-kongsi maklumat untuk menyalurkan maklumat pada kita.

"Sebab nelayan tempatan ini kita sudah percaya mereka ini sebagai mata dan telinga kita untuk menyalurkan maklumat dan sepanjang operasi yang kita laksanakan ini.

"Alhamdulillah kemasukan bot nelayan negara Vietnam didapati sangat-sangat berkurangan. Oleh kerana tindakan tegas yang kita sudah ambil selama ini dengan menahan bot-bot mereka dan kita menang pula kes di mahkamah," katanya.

Beliau ditemui pada Program Menembak Maritim Terengganu 2022 di Lembah Bidong, di sini pada Khamis.