KUANTAN: Polis Pahang dengan kerjasama penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, berjaya menumpaskan satu sindiket mengumpul diesel bersubsidi tanpa lesen dalam serbuan di satu gudang berhampiran kawasan perindustrian Semambu, Kuantan pada Sabtu petang.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Razak Mohd Yusoff berkata, hasil risikan kira-kira tujuh hari di kawasan perindustrian itu pihaknya telah menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4.10 petang.

Pemeriksaan lanjut mendapati lori itu mempunyai tangki segi empat di bahagian belakang yang dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi dibeli dari beberapa stesen minyak sekitar Kuantan.

"Soal siasat dilakukan terhadap pemandu dan kelindan lori itu mendapati mereka tidak memiliki surat kebenaran untuk membeli diesel tersebut.

"Mereka kemudiannya membawa pasukan serbuan ke sebuah gudang di Semambu yang dijadikan lokasi pengumpulan semua diesel dibeli sindiket terbabit.

"Ketika serbuan di gudang itu, pihak kami berjaya menahan 14 lagi lelaki, termasuk seorang suspek yang mengaku pemilik gudang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Abd Razak berkata, antara barang rampasan dalam operasi serbuan itu adalah minyak diesel sebanyak 19,400 liter dianggarkan bernilai RM41,710; 40 tangki segi empat bernilai RM60,000; tiga buah lori dianggarkan bernilai RM85,000 dan enam kereta pelbagai jenis bernilai kira-kira RM313,500.

"Kita juga merampas dua set penyedut minyak dan 'flow meter' bersama hos, satu unit genset dan 16 unit telefon bimbit pelbagai model.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM582,550 dan semua suspek berusia antara 18 hingga 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat oleh KPDNHEP mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

JIka sabit  kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta sekiranya bukan perbadanan dan penjara 3 tahun bagi kesalahan pertama dan tidak kurang RM3 juta sekiranya perbadanan.