KUALA LUMPUR:Kaji Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2020 mendedahkan sebanyak 16 peratus responden mengakui tidak bersedia untuk menyambung semula bayaran balik pinjaman selepas tempoh moratorium berakhir pada September lalu.

Kaji selidik yang dijalankan secara dalam talian itu melibatkan seramai 10,628 responden di seluruh negara, merangkumi 51 peratus lelaki dan 49 peratus perempuan daripada pelbagai kumpulan demografik.

Seramai 10,628 responden di seluruh negara, merangkumi 51 peratus lelaki dan 49 peratus perempuan daripada pelbagai kumpulan demografik

Jelas kaji selidik tersebut pinjaman moratorium menekankan kepentingan pengurusan kewangan berhemah termasuk 27 peratus menyedari kepentingan tabung kecemasan.

"Menurut Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), seramai 7.7 juta peminjam telah mengambil moratorium pinjaman.

"Ini menunjukkan seramai 1.2 juta peminjam mungkin memerlukan bantuan pasca-moratorium, manakala hanya 640,000 daripada mereka memohon bantuan tersebut.

"Ini bermakna seramai 580,000 peminjam tidak memohon (bantuan pasca-moratorium) dan berpotensi mengalami risiko ingkar terhadap pinjaman mereka," demikian menurut laporan tersebut, pada Selasa.

Kaji selidik itu menambah pinjaman moratorium turut memperkenalkan terma baharu kewangan kepada rakyat Malaysia termasuk penjadualan dan pengstrukturan (R&R) semula hutang, yang mana ia membantu meningkatkan kesedaran terhadap topik tersebut.

Sebagai contoh, hampir 61 peratus peminjam tidak tahu atau pasti tentang istilah (R&R), menurut laporan kaji selidik itu lagi.

Hampir 61 peratus peminjam tidak tahu atau pasti tentang istilah (R&R), menurut laporan kaji selidik itu lagi

Bagaimanapun, kaji selidik tersebut memaklumkan pelaksanaan moratorium telah membantu peminjam, dengan 14 peratus responden berjaya menyimpan RM2,001 ke atas berbanding sebanyak sembilan peratus pada tahun lalu.

Selain pinjaman moratorium, kaji selidik tersebut turut melibatkan tinjauan berhubung tabiat kewangan peribadi; impak COVID-19; kelemahan rancangan persaraan; serta literasi kewangan dalam kalangan belia di bawah 35 tahun.

RMFLS menyatakan COVID-19 yang melanda seluruh dunia menjadikan semua pihak lebih berhati-hati tentang kewangan mereka berbanding sebelum pandemik.

Namun, 53 peratus responden didapati tidak mampu meneruskan kelangsungan mereka dalam tempoh lebih tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan, manakala 19 peratus responden tidak mempunyai simpanan.